Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Program Jelajah Sinar Kasih “Bingkor Membangun Bersama Rakyat” (BMBR), yang bakal menjadi acara kesihatan dan kebajikan terbesar di Bingkor, akan berlangsung pada 1 November ini bermula jam 8 pagi di Dewan Terbuka Kampung Tangkongon.
Pengerusi program, Rafie Robert, berkata program tersebut menawarkan pelbagai kemudahan kepada masyarakat termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian barangan keperluan asas, serta peluang memenangi cabutan bertuah.
Rafie yang juga Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Keningau berkata, inisiatif ini bertujuan memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat, selain memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.
“Ini acara berfaedah untuk rakyat Bingkor kerana pelbagai aktiviti menarik telah disusun bagi memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan ini. Antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, pemberian barangan asas serta cabutan bertuah dengan hadiah menarik,” katanya.
Tambahnya, bagi keluarga muda dan golongan yang memerlukan, pihak penganjur turut menyediakan pampers percuma serta perlindungan insurans daripada syarikat Allianz bagi meningkatkan keselamatan keluarga.
Selain itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti Jualan Rahmah Madani, pemeriksaan mata percuma, pemberian sim card percuma, pameran insurans, bakul makanan warga emas, pertandingan mewarna kanak-kanak dan banyak lagi.
Menurut Rafie, Jelajah Sinar Kasih BMBR bukan sahaja memberi bantuan kebajikan, tetapi turut menjadi platform untuk rakyat membincangkan isu-isu setempat yang memerlukan perhatian pemimpin.
“Dengan tema ‘Bingkor Membangun Bersama Rakyat’, program ini mencerminkan usaha berterusan untuk membawa perubahan positif dalam kehidupan rakyat dengan menekankan pembangunan inklusif yang melibatkan semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Rafie berkata, sebagai penganjur utama beliau komited memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat sokongan sewajarnya, sambil memperkukuh semangat perpaduan komuniti.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Penggerak Masyarakat Keningau dan Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor, serta disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik.
Penyertaan adalah terbuka kepada semua penduduk Bingkor tanpa sebarang bayaran. Penduduk digalakkan hadir untuk menikmati pelbagai manfaat dan menyertai usaha membangunkan Bingkor bersama pemimpin serta komuniti setempat.



