SUKAU: Gelombang perubahan politik di kawasan Sukau semakin kukuh dengan penyertaan tujuh ahli Parti UMNO Cawangan Muming ke dalam Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau, di sini baru-baru ini.
Kemasukkan ahli secara beramai-ramai itu disambut secara rasmi oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau Datuk Juhari Janan dalam satu majlis sederhana di Pejabat Bahagian Gagasan Rakyat Sukau.
Penyertaan tersebut dilihat sebagai satu petanda positif dan manifestasi keyakinan rakyat terhadap wawasan serta kemampuan GRS.
Dalam ucapan alu-aluannya, Juhari menyatakan keyakinan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan wadah politik yang tepat untuk terus membela nasib rakyat dan membangunkan kawasan Sukau ke arah masa depan yang lebih makmur.
“Penyertaan ikhlas ahli-ahli dari UMNO Muming ini membuktikan bahawa gelombang perubahan yang kita rasakan ini adalah nyata dan disokong oleh rakyat. Rakyat kini semakin yakin dan melihat GRS sebagai wadah sebenar untuk memperjuangkan hak serta membawa pembangunan yang diidamkan,” katanya.
Beliau menegaskan, perpindahan ini bukan sekadar tentang bilangan ahli, tetapi merupakan cerminan suara hati rakyat yang mahukan perpaduan dan perjuangan yang tulus.
“Inilah suara rakyat. Inilah semangat perjuangan GRS yang kita sanjung bersama. Sukau Bangkit!” tegasnya sekali lagi.
Peristiwa ini dijangka akan mengukuhkan kedudukan GRS di kawasan Sukau dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyertaan dari akar umbi dalam masa terdekat. – SABAH MEDIA



