PRN SABAH
HomeUtamaKes ‘Sogit’: Kepincangan prosiding MAN bukan sekadar isu teknikal, tapi ketidakpatuhan undang-undang

Kes ‘Sogit’: Kepincangan prosiding MAN bukan sekadar isu teknikal, tapi ketidakpatuhan undang-undang

Read Time:5 Minute, 3 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan Anak Negeri Sabah mengenepikan keputusan Mahkamah Anak Negeri Daerah (MAND) Papar dalam kes ‘sogit’ membabitkan pertikaian dua individu bergelar Datuk berhubung seorang wanita, selepas mendapati salah seorang ahli panelnya mempunyai rekod jenayah lampau.

Mahkamah ini bersetuju dengan hujahan pihak plaintif (perayu) bahawa keputusan MAND Papar, di mana salah seorang ahli panelnya kemudiannya didapati mempunyai rekod jenayah lampau, merupakan alasan yang kukuh untuk mengetepikan keputusan panel tersebut.

“Oleh itu, keputusan MAND adalah diketepikan,” kata Hakim Datuk Celestina Stuel Galid ketika membacakan alasan penghakiman, pada Rabu, berhubung rayuan plaintif ke atas keputusan MAND Papar yang telah mengenepikan keputusan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Papar.

Celestina membuat keputusan itu selepas menimbangkan hujahan pihak plaintif, defendan, ‘amicus curiae’ (sahabat mahkamah) serta pendapat daripada dua pengapit bijaksana, Salleh Othman (Ketua Daerah MAN Papar) dan Kamaruddin Muda (Ketua Anak Negeri MAN Membakut).

Kes ini bermula pada 23 Oktober 2024 apabila MAN Papar mendapati defendan, seorang pegawai kanan kerajaan bergelar Datuk, bersalah melanggar adat istiadat suku kaum Kadazandusun Papar kerana telah “mengganggu isteri plaintif” dan dikenakan ‘sogit’ sebanyak “tiga badan kerbau dan denda RM3,000”.

Namun, pada 17 Disember 2024, keputusan tersebut diketepikan oleh MAND Papar selepas rayuan defendan diterima. Tidak berpuas hati, plaintif kemudiannya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Anak Negeri Sabah untuk menegakkan semula keputusan asal MAN Papar.

Dalam alasan penghakimannya, Celestina berkata bahawa berlandaskan Seksyen 21 Enakmen Mahkamah Anak Negeri, Mahkamah Rayuan boleh mendengar semula kes ini.

Mahkamah telah meneliti rekod rayuan serta hujahan-hujahan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak dalam menentukan sama ada keputusan MAN Papar boleh ditegakkan (upheld) atau sebaliknya dan sama ada defendan telah melakukan kesalahan seperti yang telah dituduh.

Antara lain, Celestina menekankan kepentingan untuk melihat peruntukan di bawah Kaedah 7 dalam Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Prosedur dan Amalan) 1995 yang antara lainnya memperuntukkan “(1) Every proceedings in the Native Court shall be begun by summons; (2) Every summons shall be in Form 1; (3) Every summons shall be filed in four copies in the Registry upon payment of the prescribed fee.”

“Mahkamah ini adalah berpendapat bahawa prosiding di MAN adalah tidak kompeten dan hendaklah diketepikan atas alasan-alasan (i)Ketidakpatuhan Kaedah 7(3); (ii)Ketiadaan penyataan tuntutan dalam saman bertarikh 14 September 2024; (iii) Terdapatnya ‘duplicity’ apabila saman kedua bertarikh 9 Oktober 2024 telah dikeluarkan; (iv) MAN tidak merujuk kepada pembelaan defendan bertarikh 22 Oktober 2024 walaupun ia difailkan dalam tempoh 21 hari selepas saman bertarikh 9 Oktober 2024,” katanya.

Celestina berkata, sekiranya, keputusan Mahkamah mengenai prosedur adalah tidak betul, Mahkamah ini juga menimbangkan merit kes ini iaitu samada defendan telah melanggar adat istiadat suku kaum Kadazandusun Papar kerana telah “menganggu isteri plaintif” seperti yang telah diputuskan oleh MAN.

“Perlu juga dinyatakan bahawa dalam aduan plaintif, plaintif telah menyatakan bahawa defendan “didapati ada hubungan sulit (having affair)” dengan isterinya. Dalam rayuan ini, peguam bijaksana plaintif pula berhujah bahawa “sogit kemaluan zina” adalah merujuk kepada kesalahan “mianu-anu” di dalam Daerah Papar.

“Dalam hal ini, peguam bijaksana defendan adalah tidak salah dalam hujahan beliau bahawa terdapat pelbagai kesalahan yang berbeza yang diutarakan di dalam kes ini iaitu: (i)Mengadakan hubungan sulit dengan isteri orang seperti dalam aduan plaintif; (ii)Melakukan zina seperti dalam saman bertarikh 9 Oktober 2024; (iii) “Menganggu isteri plaintif” seperti yang telah diputuskan oleh MAN; dan (iv)“mianu-anu” seperti yang dihujahkan oleh peguam bijaksana plaintif.

“Oleh kerana menurut hujahan plaintif, kes ini melibatkan kesalahan zina atau mianu-anu, Mahkamah ini akan meneliti samada bukti yang telah dikemukakan dapat menyokong hujahan tersebut,” katanya.

Celestina berkata dalam keputusan bertulis, MAN ada dinyatakan bahawa bukti yang dikemukakan adalah 17 keping gambar berwarna, 31 keping screenshot WhatsApp dan notifikasi tentang tempahan penginapan di Aeropod pada 31 Mei 2024 hingga 1 Jun 2024.

Kesemua gambar dan screenshot WhatsApp juga telah dimasukkan dalam rekod rayuan di hadapan Mahkamah ini. Walau bagaimanapun, peruntukkan Seksyen 20(1) & (3) Kaedah-Kaedah Mahkamah Anak Negeri (Prosedur dan Amalan) 1995 nampaknya tidak dipatuhi oleh kerana rekod rayuan langsung tidak mengandungi apa-apa rekod yang menunjukkan bukti bahawa mesej-mesej dalam screenshot WhatsApp mahupun nombor telepon yang dinyatakan merujuk kepada isteri plaintif dan atau defendan.

Begitu juga tentang tempahan penginapan di Aeropod pada 31 Mei 2024 hingga 1 Jun 2024, tidak apa apa-apa langsung yang mengaitkannya dengan defendan mahupun isteri plaintif atau kedua-dua mereka pada tempahan tersebut.

“Mahkamah sememangnya bersetuju bahawa pada amnya mahkamah sepatutnya tidak dikekang dengan hujahan-hujahan yang semata-mata berciri teknikal tetapi dalam kes ini, kepincangan dalam prosiding MAN bukanlah perkara teknikal sahaja tetapi ketidakpatuhan dalam undang-undang,” katanya.

Bagi gambar-gambar tersebut pula, Mahkamah mengambil maklum bahawa defendan dalam pembelaannya telah mengakui ia merujuk kepadanya dan isteri plaintif.

Terdapat empat gambar di mana isteri plaintif kelihatan sedang mencium pipi defendan, dua gambar di mana isteri plaintif sedang duduk dan defendan di sebelahnya dengan tangannya di atas bahu isteri plaintif, satu gambar menunjukkan kedua-dua mereka membelakangkan kamera dengan tangan mereka saling di atas bahu masing-masing, dua gambar di mana kedua-dua mereka berdiri berdekatan dan tangan defendan memeluk pinggang isteri plaintif dan akhirnya, dua gambar di mana kedua-dua mereka adalah berdekatan.

“Pertama sekali, bagi pendapat Mahkamah ini walaupun gambar-gambar ini menunjukkan terdapatnya closeness di antara defendan dan isteri plaintif, ianya tidak cukup untuk membukti kesalahan mianu-anu atau zina yang perlu melibatkan ‘illicit intercourse’.

“Keduanya, dengan tiadanya bahan bukti yang lain, pada pendapat Mahkamah ini, gambar-gambar ini tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan-kesalahan lain iaitu mengadakan hubungan sulit dengan isteri plaintif atau menganggu isteri plaintif,” katanya.

Celestina berkata secara kesimpulannya, berdasarkan perkara-perkara tersebut di atas, adalah keputusan Mahkamah ini bahawa keputusan MAN hendaklah diketepikan atas dasar ketidakpatuhan prosedur.

“Selanjutnya, walaupun kedua-dua pengapit berpendapat bahawa kesalahan zina atau mianu-anu sememangnya adalah suatu perlanggaran adat Daerah Papar yang boleh dikenakan hukuman, Mahkamah ini berpendapat bukti yang dikemukakan tidak cukup untuk menyokong kesalahan zina seperti yang dituntut dalam saman bertarikh 9 Oktober 2024 atau mianu-anu seperti yang dihujahkan oleh peguam bijaksana plaintif dalam rayuan ini.

“Dengan ini, mahkamah menolak rayuan plaintif tanpa kos,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular