PRN SABAH
HomeUtamaEGOS 2025 buktikan potensi Tasik Sulaman dalam perluasan Kinabalu Geopark

EGOS 2025 buktikan potensi Tasik Sulaman dalam perluasan Kinabalu Geopark

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak 28 hasil penyelidikan berjaya dibentangkan menerusi Seminar Saintifik Geo Sulaman (EGOS) merangkumi bidang flora, fauna, geologi, pelancongan dan termasuk unsur budaya komuniti asli.

Pengarah Taman-Taman Sabah Datuk Dr Maklarin Lakim berkata, hasil penyelidikan itu berupaya memperkukuh justifikasi bahawa kawasan ini wajar diiktiraf sebagai sebahagian daripada perluasan rasmi Kinabalu Geopark.

Katanya, inisiatif ekpedisi dan seminar untuk perluasan kawasan Geopark bukan sekadar mengejar pengiktirafan antarabangsa, tetapi lebih penting — ia adalah pengiktirafan terhadap kekayaan warisan tempatan dan bukti nyata komitmen Sabah terhadap kelestarian.

”Usaha ini seiring dengan Pelan Strategik Taman-Taman Sabah, yang mengangkat prinsip pembangunan mampan berasaskan sains sebagai teras dalam pengurusan taman.

”Pada masa yang sama, ia mendukung matlamat Agenda Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam memperkukuh pemuliharaan biodiversiti, pembangunan komuniti berasaskan sumber tempatan, serta pendidikan dan kesedaran terhadap sains alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan EGOS 2025 di sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan dan Pendidikan Taman-Taman Sabah Fazrulla Rizally Abdul Razak.

Maklarin berkata, Taman-Taman Sabah melihat usaha itu sebagai satu platform penyatuan antara sains, warisan dan masyarakat, yang bukan sahaja meningkatkan reputasi Kinabalu Geopark di peringkat global, tetapi juga membawa manfaat langsung kepada komuniti sekitar melalui peluang ekonomi, pelancongan dan pembangunan kapasiti.

”Melalui perkongsian hasil dapatan ekspedisi saintifik yang telah dijalankan, kawasan cadangan ini mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan melalui agenda geopark yang menekankan konsep pembangunan sosio ekonomi komuniti setempat melalui pelancongan yang berasaskan ilmu.

”Dalam konteks Tasik Sulaman dan sekitarnya, kita melihat bagaimana geodiversiti memberi asas kepada kewujudan biodiversiti, dan bagaimana kedua-duanya menyokong kehidupan serta ekonomi komuniti setempat.

”Inilah yang menjadikan kawasan ini bukan sekadar kaya dengan alam semula jadi, tetapi juga dengan cerita manusia yang hidup harmoni dengan alam semula jadi,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular