SANDAKAN: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, menggesa supaya lampu isyarat pejalan kaki dipasang di kawasan Bandar Leila di sini, selepas seorang pejalan kaki cedera parah dilanggar kereta, semalam (31 Okt).
Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan kecemasan dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal.
Yap Hsiu Min yang mewakili George Hiew , bersama beberapa staf telah bergegas ke hospital selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Anggota pasukan perkhidmatan George Hiew itu telah bertemu dengan keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan kewangan daripada George Hiew kepada mereka.
Difahamkan mangsa merupakan seorang lelaki muda mempunyai isteri yang sedang sarat mengandung.
George Hiew turut menegaskan bahawa kawasan tersebut merupakan laluan sibuk yang sering berlaku kemalangan melibatkan pejalan kaki.
“Saya telah menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan dan menggesa agar lampu isyarat pejalan kaki dipasang dengan segera bagi menjamin keselamatan penduduk setempat dan mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.



