PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan bahawa pelaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon kini mencapai kemajuan fizikal sebanyak 59.39 peratus setakat 25 Oktober 2025.
Beliau berkata, projek berskala besar itu dijangka siap sepenuhnya menjelang penghujung tahun 2026 dan akan menjadi penyelesaian utama kepada masalah gangguan bekalan air yang sekian lama dihadapi penduduk daerah ini.
Menurutnya, isu air di Papar adalah sebahagian daripada masalah “tiga serangkai” iaitu air, elektrik dan jalan raya yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun, bukan isu baharu yang muncul di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Ada yang kata GRS gagal selesaikan isu tiga serangkai. Tapi semasa mereka dulu, selesaikah? Hakikatnya, ini isu legasi yang telah lama kita warisi,” katanya menerusi satu rakaman video dimuat naik di laman media sosialnya hari ini.
Loji Air Papar Tidak Cukup Kapasiti
Armizan menjelaskan, keperluan air terawat di Papar adalah sebanyak 93 juta liter sehari (JLH), namun kapasiti sedia ada hanya mampu membekalkan 63 JLH melalui tiga loji iaitu LRA Kogopon (40 JLH), EWSS Limbahau (10 JLH) dan LRA Jetama Limbahau (13 JLH).
Kekurangan kira-kira 30 JLH itu menyebabkan sebahagian kawasan terutama Mukim Kinarut dan kawasan perumahan bertingkat sering mengalami gangguan dan catuan air.
Katanya, usaha menaik taraf LRA Kogopon Fasa Dua bagi meningkatkan kapasiti loji kepada 80 JLH telah lama dirancang dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), namun tertangguh disebabkan kelewatan pelaksanaan dan peningkatan kos projek.
Disenaraikan Sebagai Projek Keutamaan
Armizan menjelaskan, berkat keprihatinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, projek tersebut telah disenaraikan sebagai salah satu keutamaan dalam Mesyuarat Khas Penyelaras Isu Bekalan Air Sabah dan Kelantan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Jun 2023.
“Selepas mesyuarat itu, walaupun proses Notis Perubahan (NOC) belum dimuktamadkan, Ketua Menteri mengarahkan supaya proses perolehan dimulakan segera. Alhamdulillah, kontraktor dilantik dan majlis pecah tanah telah disempurnakan pada 25 Ogos 2023,” katanya.
Beliau menegaskan komitmennya untuk memantau pelaksanaan projek secara berkala bagi memastikan ia siap mengikut jadual, meskipun mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
Projek Muka Sauk Alternatif Kampung Kabang
Selain LRA Kogopon, Armizan turut memaklumkan bahawa pembinaan muka sauk alternatif di Kampung Kabang bagi menambah sumber bekalan air mentah turut giat dijalankan.
Projek bernilai sederhana itu bermula pada 10 Mac 2025 dan dijangka siap pada awal tahun depan, dengan kemajuan semasa sebanyak 36.92 peratus.
Katanya, muka sauk baharu itu akan membantu mengatasi masalah peningkatan kadar klorida di Sungai Papar yang menyebabkan dua loji di Limbahau terpaksa ditutup sementara ketika musim kemarau atau air pasang besar.
“Dengan adanya muka sauk alternatif di Kampung Kabang, kedua-dua loji di Limbahau boleh terus beroperasi walaupun muka sauk asal tidak boleh digunakan akibat air masin,” jelasnya.
Terus Komited Berkhidmat Untuk Papar
Armizan turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas sokongan dan kelulusan segera projek-projek penting bagi kawasan Papar, serta memohon maaf kepada penduduk yang masih berdepan kesukaran akibat gangguan bekalan air.
“Kedua-dua projek ini sedang berjalan dan kita sama-sama berdoa agar siap mengikut jadual. Saya dan rakan-rakan dalam GRS akan terus berkhidmat sehabis baik untuk Paparian,” katanya.
Beliau turut menyeru agar pengundi di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Papar termasuk Limbahau, Kawang dan Pantai Manis terus memberi kepercayaan kepada wakil GRS pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah penghujung November ini.



