KOTA KINABALU : Sabah telah memformalisasikan pengambilalihan 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS PFLNG 3 Sdn Bhd, satu langkah yang memperkukuh lagi sinergi antara syarikat petroleum nasional dan negeri Sabah
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah strategik itu menandakan kerjasama erat dan saling menguntungkan antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS, di samping membuka ruang kepada lebih banyak peluang pelaburan bersama pada masa hadapan.
“Langkah ini bukan sahaja akan memperkukuh sinergi antara PETRONAS dan negeri Sabah, tetapi juga akan membuka potensi bagi kerjasama seumpama ini pada masa hadapan,” katanya.

Perjanjian muktamad tersebut dimeterai antara SMJ Energy Sdn Bhd, syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah, dan PETRONAS LNG Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS, dalam satu majlis yang berlangsung di Kota Kinabalu di sini.
Pengambilalihan ini merupakan susulan kepada pemeteraian Kepala Perjanjian (Heads of Agreement) yang disaksikan sendiri oleh Ketua Menteri dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, pada 17 Julai lalu di Kuala Lumpur.
Projek PETRONAS PFLNG 3, yang juga dikenali sebagai ZLNG, sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dengan nilai pelaburan kira-kira USD3.1 bilion.
Kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pesisir (FLNG) ini dijangka mula beroperasi pada separuh kedua tahun 2027 dengan kapasiti pengeluaran 2 juta tan setahun (2.0 MTPA).
Pelaburan strategik ini merupakan tambahan terkini kepada portfolio pelaburan pelbagai SMJ Energy yang sedia ada, di mana syarikat itu kini memegang 50 peratus.
Pelaburan terbaharu ini melengkapkan portfolio pelaburan SMJ Energy, yang kini turut memiliki 50 peratus kepentingan penyertaan dalam Samarang Production Sharing Contract, 10 peratus ekuiti dalam PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd; 25 peratus ekuiti dalam PETRONAS Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (loji petrokimia SAMUR), serta Pemilikan penuh terhadap Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) yang menguruskan aset FPSO dan FSO.
SMJ Energy juga memegang hak “free carry dan back-in rights” dalam blok penerokaan SB409 (20%), SB403 (20%), SB306A (15%), dan SB306B (15%). – SABAH MEDIA



