KOTA KINABALU : Seramai 16 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dengan Kepujian, Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan (FPPS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya melaksanakan Projek SULAM (Service Learning Malaysia – University for Society) bertemakan “Alphabet Animal Safari” bersama kanak-kanak PASTI An-Najah, Manggatal.
Projek ini menjadi platform pelajar menerapkan teori Pengajaran Bahasa dan Literasi Awal Kanak-Kanak ke dalam situasi sebenar, di samping memperkukuh hubungan antara universiti, institusi pendidikan awal dan komuniti setempat.
Ketua Projek, Nazira Nisah Abdul Aziz, berkata program ini bertujuan membantu kanak-kanak mengenal pasti masalah bahasa dan literasi melalui pendekatan pembelajaran menyeronokkan berasaskan aktiviti interaktif.
“Melalui aktiviti ini, kanak-kanak dapat mengenal huruf, menyebut nama dan meniru bunyi haiwan serta berinteraksi aktif dengan rakan serta guru.
“Mereka juga diajar untuk menunjukkan sikap prihatin terhadap haiwan sekaligus memahami peranan haiwan dalam alam semula jadi,” katanya.
Nazira turut merakamkan penghargaan kepada pihak PASTI An-Najah, rakan sekumpulan dan pensyarah yang banyak memberi bimbingan dalam menjayakan projek berkenaan.
“Kerjasama erat antara pelajar, guru dan komuniti menjadi kunci kejayaan projek ini. Kami berharap hubungan ini dapat diteruskan bagi memberi manfaat berterusan kepada masyarakat,” ujarnya.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk permainan literasi, kad huruf interaktif, mewarna haiwan, dan cerita bergambar yang menggabungkan elemen bahasa, kreativiti dan nilai kasih terhadap alam sekitar.
Guru PASTI An-Najah, Sofia Arqiyah Ab Rahman menzahirkan penghargaan kepada pelajar UMS atas usaha mereka menjadikan proses pembelajaran lebih ceria dan bermakna bagi kanak-kanak.
“Kami sangat berterima kasih kepada pelajar UMS yang telah melaksanakan aktiviti menarik ini.
“Mereka bukan sahaja membantu meningkatkan kemahiran bahasa anak-anak kami, malah membawa suasana pembelajaran yang menyeronokkan,” katanya.
Pensyarah kursus TD20103, Dr. Juppri Bacotang, turut berbangga dengan inisiatif pelajarnya yang berjaya menggabungkan teori dengan aktiviti lapangan melalui pendekatan SULAM.
“Projek seperti ini memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada pelajar, di samping membantu mereka memahami keperluan sebenar kanak-kanak termasuk yang berkeperluan khas.
“Ia membentuk pendidik yang empati, inovatif dan berjiwa masyarakat,” katanya.
Projek Alphabet Animal Safari bukan sahaja memperkukuh kemahiran bahasa dan literasi awal kanak-kanak, malah mengasah nilai kemanusiaan dan empati dalam kalangan pelajar UMS sebagai bakal pendidik.
Inisiatif ini menjadi bukti bahawa pembelajaran berasaskan pengalaman lapangan mampu memperkasa komuniti sambil melahirkan generasi pendidik yang berilmu, prihatin dan berjiwa masyarakat.



