Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD : Minat mendalam terhadap aroma dan seni pembuatan kopi menjadi titik tolak kejayaan seorang belia di daerah ini apabila menjadikan hobi tersebut sebagai punca rezeki utama.
Mohd Imran Abd Rakman, 22, pemilik kedai kopi kecil yang dikenali sebagai Coffee’in, kini semakin dikenali dalam kalangan penduduk setempat kerana keunikan rasa kopi yang dihasilkannya.
Menurut Imran, perjalanan beliau bermula secara sederhana apabila hanya menggunakan peralatan asas seperti Mocha Pot untuk menyeduh kopi.
Namun, selepas menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera anjuran Persatuan Tunas Usahawan Muda Sabah (PANTAS), beliau berjaya mempertingkatkan kemahiran serta menambah baik peralatan kedainya hasil bantuan modal sebanyak RM15,000.
“Saya gunakan bantuan itu untuk membeli mesin Espresso dan pengisar kopi yang lebih baik. Sekarang saya boleh hasilkan kopi dengan kualiti dan konsistensi yang tinggi, sama seperti jenama-jenama besar,” katanya ketika ditemui di premisnya di Kampung Kesapang.
Imran mengakui tidak mudah untuk membina keyakinan pelanggan terhadap kopi tempatan kerana masih ada segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap kopi kampung. Namun, beliau bertekad untuk mengubah tanggapan itu.
“Saya mahu buktikan bahawa kopi tempatan juga mempunyai keunikan rasa tersendiri dan mampu bersaing jika disediakan dengan cara yang betul,” jelasnya.
Bersama dua adiknya, Mardan dan Irfan, Imran menguruskan Coffee’in yang turut menawarkan menu makanan seperti sate dan burger buatan sendiri.

Ketiga-tiga adik-beradik itu kini merancang membuka cawangan baharu di pekan Kota Belud pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Imran menyeru agar kerajaan negeri memperkemas sistem bantuan kepada usahawan muda Bumiputera bagi memastikan hanya individu yang benar-benar serius dan layak menerima sokongan tersebut.
“Bantuan sebegini amat bermakna untuk kami yang baru bermula. Tapi ia juga perlu diuruskan dengan telus supaya setiap usahawan mendapat peluang yang adil,” ujarnya.
Kisah kejayaan Imran membuktikan bahawa minat dan kesungguhan, apabila digabungkan dengan ilmu serta bimbingan yang betul, mampu mengubah kehidupan — bahkan dari secawan kopi, lahirlah cita-cita yang besar. – SABAH MEDIA



