SANDAKAN : Keprihatinan Sabah Electricity terhadap keselamatan penduduk menerima pujian apabila syarikat itu bertindak pantas menggantikan dua tiang elektrik uzur di Jalan Pei Yin, di sini, baru-baru ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, berkata tindakan segera itu wajar dicontohi kerana dua tiang berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan condong dan mengalami hakisan teruk pada bahagian dasar, sekali gus berisiko tumbang.
“Sebaik menerima maklum balas daripada penduduk, kami segera turun ke lokasi bersama wakil Sabah Electricity dan Ketua Pasukan Khidmat Karamunting, Yap Hsiu Min, bagi memantau kerja penggantian tiang tersebut,” katanya.
Menurut Hiew, yang juga Ketua Bahagian Karamunting Parti Gagasan Rakyat Sabah, tindakan pantas SESB membuktikan komitmen mereka dalam memastikan keselamatan penduduk dan kestabilan bekalan elektrik sentiasa terjamin.
Kerja penggantian tiang itu turut disaksikan oleh penduduk setempat serta dua wakil komuniti yang hadir di lokasi.
Dalam masa sama, Hiew menggesa orang ramai agar terus menyalurkan aduan sekiranya terdapat infrastruktur elektrik yang uzur atau berbahaya supaya tindakan segera dapat diambil.
“Kerjasama antara penduduk dan agensi utiliti amat penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya. – SABAH MEDIA



