PRN SABAH
HomeUtamaProgram jahitan B40 perkasa wanita luar bandar

Program jahitan B40 perkasa wanita luar bandar

Read Time:2 Minute, 0 Second

Oleh Rhea Dharmin

KOTA MARUDU:  Seramai 20 orang wanita daripada golongan B40 membabitkan Kudat dan Kota Marudu menerima manfaat menerusi Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan Untuk Golongan B40 bagi meningkatkan pendapatan keluarga.

Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (KPPK), Moira David berkata program terbabit memberi pendedahan awal kepada peserta dalam aspek pengetahuan dan kemahiran kerja.

Menurutnya, pendedahan terbabit juga membantu golongan terbabit menjadi lebih berdikari dan mampu menjalankan perniagaan sendiri.

Antara produk yang dihasilkan para peserta Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan Untuk Golongan B40 – ihsan SEDCO

“Program ini amat signifikan kerana ia seiring dengan agenda kerajaan negeri Sabah dalam memperkasa ekonomi rakyat khususnya, wanita daripada golongan B40 di kawasan luar bandar. 

“Sebagai kementerian yang memacu pembangunan industri dan keusahawanan, kami komited untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing, memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin ekonomi keluarga serta menjadikan kemahiran yang diperoleh melalui program ini sebagai sumber ekonomi yang mapan dan lestari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Hibiscus Petroleum Berhad dan Sedcovest Holdings Sdn Bhd atas kerjasama dan sumbangan dalam menjayakan program terbabit.

Katanya, beliau menyifatkan jalinan kerjasama tersebut sebagai model kolaborasi terbaik antara sektor awam dan swasta dalam memperkukuh komuniti luar bandar.

“Usaha kolaboratif bersama badan korporat seperti Hibiscus Petroleum dan Sedcovest itu amat penting dan amat dihargai kerana pembangunan komuniti luar bandar memerlukan penyertaan semua pihak. 

“Pendekatan bersama ini bukan sahaja membantu memperkukuh ekonomi setempat tetapi, turut memberi peluang kepada isi rumah berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf hidup dan berdikari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Projek Pembinaan Keupayaan Kemahiran Jahitan Untuk Golongan B40 Daerah Kudat dan Kota Marudu, baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Aset Operasi Sabah Hibiscus, Edmund Ang dan Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Abd Rahim Md Zain.

Susulan itu, Moira menyatakan harapannya agar semua peserta akan terus aktif mengembangkan perniagaan serta bijak memanfaatkan pelbagai platform media sosial untuk memasarkan produk masing-masing.

“Harapan saya, semoga para peserta sekalian akan terus aktif dan mengembangkan perniagaan kecil anda, mungkin boleh dicadangkan untuk bergabung dalam kumpulan agar dapat menerima tempahan yang lebih besar. 

“Jadikan diri anda sebagai role model kepada wanita-wanita lain di daerah Kudat dan Kota Marudu.

“Saya turut berharap kemahiran yang diperoleh dapat menjadi sumber rezeki yang berterusan. Gunakan ilmu yang dipelajari untuk menerima tempahan jahitan, di samping memperluaskan jualan melalui platform digital yang telah diterokai,” katanya – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular