PRN SABAH
HomeUtamaSambutan Hari Warga Emas Sabah 2025 diraikan di Ranau

Sambutan Hari Warga Emas Sabah 2025 diraikan di Ranau

Read Time:1 Minute, 48 Second

KOTA KINABALU:   Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Sabah yang akan berlangsung di Ranau pada 18 Disember depan dijadual akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, Jais Asri berkata sambutan tersebut bakal menghimpunkan kira-kira 450 warga emas dari seluruh Sabah dengan pelbagai pengisian berbentuk penghargaan, kesihatan dan kesejahteraan warga emas.

“Pertama, sambutan ini sebenarnya untuk kita menghargai warga emas supaya menua dengan sihat. Yang kedua, ia bersempena dengan Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun dan di peringkat negeri kita buat pada 18 Disember.

“Ini kerana warga emas perlu dihargai dan diraikan kerana tanpa mereka, generasi muda hari ini tidak akan wujud. Kita mahu mereka terus sihat, bahagia dan merasa dihormati dalam masyarakat,” katanya.

Jais berkata, Tun Musa akan menyempurnakan sambutan berkenaan di samping menyampaikan Anugerah Tokoh Warga Emas pelbagai kategori pada hari kemuncak, selain pertandingan suara emas pada malam 17 Disember.

“Acara kemuncak pada 18 Disember, kita akan berikan penghormatan kepada dua orang tokoh warga emas yang paling berusia dan kita beri penghormatan kepada daerah Ranau serta ada penyampaian beberapa kategori lain. 

“Paling menarik, Tuan Yang Terutama Tun juga berbesar hati hadir untuk menyaksikan pertandingan suara emas di mana penyanyi-penyanyi bakat lama warga emas akan dipertandingkan pada malam itu,” katanya.

Beliau yang ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu di sini.

Jais turut memaklumkan, JPKA Sabah akan melancarkan inisiatif baharu yang dinamakan Program Merpati mulai Januari tahun depan.

“Program ini kita akan launch pada Januari 2026 jadi, kita sedang membuat persediaan sekarang ini. Ia merupakan program untuk keluarga menempatkan ibu bapa mereka (warga emas) di institusi kebajikan untuk satu tempoh yang tertentu bagi menyokong mereka berurusan. 

“Di bawah Program Merpati, anak-anak boleh tumpangkan ibu atau bapa mereka di rumah warga tua secara harian dengan pre-booking untuk tempoh maksimum seminggu dengan sedikit bayaran untuk kos makan dan minum,” katanya.

Tambah Jais, buat permulaan, program Merpati akan dilaksanakan di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu, dengan sasaran lima hingga enam klien setiap hari, sebelum ia diperluas ke seluruh Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular