SANDAKAN: Isu jalan di Bandar Sandakan tidak seharusnya dijadikan bahan manipulasi oleh pihak pembangkang.
Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Chong Thien Ming, berkata orang ramai sendiri boleh menilai dan melihat usaha berterusan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memperbaiki jalan bandar.
Katanya, GRS sentiasa konsisten dalam melaksanakan kerja-kerja pembaikan jalan termasuk di jalan utama, kawasan perumahan serta kawasan komersial di sekitar Sandakan.
“Saya berharap penduduk tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu yang disebarkan pihak tertentu.
“Pembangkang hanya cuba mencari publisiti murahan untuk menonjolkan diri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17),” katanya.
Terdahulu, Thien Ming meninjau kerja tampalan jalan yang sedang dijalankan di sepanjang Jalan BDC di sini.
Menurutnya, Isnin lalu, beliau melaporkan isu jalan berlubang terhadap syarikat konsesi bertanggungjawab dan kerja tampalan jalan dilakukan syarikat itu pada keesokan harinya.
Thien Ming, berkata rakyat perlu menilai
berdasarkan fakta dan bukti kerja yang dilaksanakan GRS.
Beliau juga memberi jaminan akan terus memantau keadaan jalan di sekitar Bandar Sandakan bagi memastikan semua kerja pembaikan disiapkan dengan sempurna demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.



