PRN SABAH
HomeUtamaDua pasar raya di Sabah sertai inisiatif digitalisasi data harga barangan melalui...

Dua pasar raya di Sabah sertai inisiatif digitalisasi data harga barangan melalui aplikasi PriceCatcher

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Dua pasar raya utama di Sabah menyertai inisiatif digitalisasi dan ketelusan data harga barangan melalui Aplikasi PriceCatcher yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, dalam kenyataan hari ini, KPDN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua entiti sektor peruncitan di Sabah, iaitu Pasar Raya Bataras Sdn. Bhd. dan Pasar Raya CKS Retail Sdn. Bhd.

Beliau berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan KPDN untuk memperluaskan jaringan rakan strategik sektor peruncitan dalam pelaksanaan digitalisasi dan ketelusan maklumat harga barangan, bagi memudahkan pengguna membuat semakan serta merancang perbelanjaan dengan lebih bijak.

Katanya, inisiatif perkongsian sukarela maklumat harga ke dalam Aplikasi PriceCatcher telah dimulakan setahun lalu melalui penyertaan Pasar Raya MYDIN dan Pasar Raya Redtick.

Aplikasi PriceCatcher kini memaparkan harga bagi 316 barangan keperluan utama pengguna yang dikemas kini secara harian, mingguan dan bulanan, meliputi kategori seperti barangan segar, kering, berbungkus, susu dan barangan bayi, produk kebersihan serta minuman.

Setakat 31 Oktober 2025, aplikasi ini telah dimuat turun lebih 590,000 kali di seluruh negara dan mencatat purata 10,000 pelawat aktif setiap minggu.

“Melalui pelaksanaan MoU ini, pasar raya yang terlibat akan membekalkan maklumat harga barangan secara automasi terus ke dalam sistem PriceCatcher, sekali gus memperluas liputan data harga dan membolehkan pengguna di Sabah mengakses maklumat harga secara masa nyata (real-time),” katanya.

Armizan berkata, KPDN akan terus menggalakkan lebih banyak pasar raya dan premis runcit untuk berkongsi data harga secara automasi, selaras dengan komitmen kerajaan memastikan hak pengguna terhadap maklumat dilindungi melalui inisiatif digitalisasi dan ketelusan data harga.

Dalam kenyataan sama, Armizan turut menggesa penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) agar segera memanfaatkan pelaksanaan inisiatif Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0 yang bertujuan memperkukuh jaringan perlindungan sosial golongan berpendapatan rendah.

Katanya, PTV 3.0 yang bermula pada 1 September 2025 menawarkan baucar bernilai RM30 kepada dua juta penerima STR untuk membeli produk asas insurans dan takaful daripada pengendali berlesen di bawah program berkenaan sehingga 31 Disember 2025 atau sehingga semua baucar ditebus.

Selaras dengan komitmen kerajaan meringankan kos sara hidup rakyat, KPDN dengan kerjasama Persatuan Takaful Malaysia (MTA) turut menganjurkan Program Siri Takaful di Papar, Sabah, bagi memperluas kefahaman dan galakan terhadap pengambilan produk perlindungan asas mampu milik.

“Setakat 11 November 2025, seramai 18,826 penerima STR telah menebus dan membeli produk asas takaful serta insurans melalui syarikat terpilih di bawah program ini,” katanya.

Beliau menyeru semua penerima STR yang layak untuk menebus baucar PTV 3.0 menerusi laman web MyCoverage sebelum tarikh tamat program.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar bina kekuatan pasukan Sabah melalui kepercayaan dan dedikasi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular