PRN SABAH
HomePRNN.54 KARAMUNTINGGeorge Hiew komited terus berkhidmat untuk rakyat kawasan Karamunting

George Hiew komited terus berkhidmat untuk rakyat kawasan Karamunting

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Calon Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) bagi kerusi N54 Karamunting menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu sekiranya diberikan mandat sekali lagi dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pengumuman rasmi calon Keadilan bagi PRU DU Sabah ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.

Menurutnya, pelantikan semula sebagai calon di bawah Parti Keadilan merupakan satu penghormatan dan peluang untuk meneruskan perjuangan membangunkan Karamunting serta memastikan kesinambungan khidmat kepada rakyat.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang yang diberikan kepada saya sekali lagi untuk menjadi calon di N54 Karamunting. Ini adalah kali ketiga saya bertanding di sini pertama pada 2018, kemudian 2020, dan kini sekali lagi pada 2025,” katanya.

Beliau menambah, kepercayaan yang ditunjukkan oleh rakyat Karamunting menjadi dorongan untuk terus bekerja keras demi kemajuan kawasan itu, selain menyokong usaha kerajaan gabungan dan Pakatan Harapan membangunkan Sabah.

Katanya, isu utama di Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya perlu diselesaikan secara menyeluruh, dan langkah Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM6.9 bilion kepada Sabah baru-baru ini merupakan tanda kesungguhan kerajaan pusat terhadap pembangunan negeri itu.

“Ini pengumuman tertinggi dalam sejarah. Ia membuktikan kerjasama erat antara negeri dan pusat sangat penting supaya misi Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan, tetapi satu realiti,” ujarnya.

Mengulas mengenai penerimaan pengundi, beliau mengakui cabaran tetap ada kerana sebelum ini berkhidmat di bawah lambang parti lain, namun yakin sokongan penduduk Karamunting tidak berubah kerana mereka menilai berdasarkan kerja dan khidmat, bukan semata-mata parti.

“Saya bukan wakil rakyat yang pandai berwayang atau muncul bila pilihan raya. Selama tujuh tahun ini, saya pasang lebih seribu lampu jalan, bantu selesaikan isu tanah tiga kampung besar dan usahakan pelbagai bantuan untuk rakyat,” katanya lagi.

Mengulas mengenai slogan pembangkang “Selamatkan Sabah” dan “Sabah for Sabahan”, beliau menegaskan bahawa Sabah tidak boleh berdiri sendiri tanpa kerjasama dengan kerajaan Persekutuan.

“Yang penting, Sabah mesti sehaluan dengan Putrajaya. Kita perlukan Ketua Menteri yang kuat di Sabah dan Perdana Menteri yang memahami Sabah dan hari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah buktikan perkara itu dengan turun padang sendiri setiap kali ada isu,” katanya.

Beliau menegaskan, pilihan raya kali ini bukan sekadar tentang lambang parti, tetapi tentang kesinambungan perjuangan dan kestabilan untuk membawa pembangunan berterusan kepada rakyat Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar tegas di Parlimen tapi lembut di rumah – Shaheizy...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular