Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD : Komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pendidikan anak-anak Sabah terus diperkasakan apabila sejumlah RM77.83 juta diperuntukkan bagi membantu 5,021 pelajar melanjutkan pengajian mereka.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan luar biasa hampir 188.5 peratus berbanding hanya RM26.98 juta bagi 908 pelajar pada tahun 2020.
Beliau berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pada 2022 turut memastikan pelajar daripada keluarga B40 tidak tercicir daripada arus pendidikan.

“Sejak ditubuhkan, TPNS telah memberi manfaat kepada 15,000 pelajar dengan perbelanjaan RM20.1 juta. Bantuan ini khusus buat mereka yang tidak berpeluang memperoleh tajaan biasiswa daripada penaja utama negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Jerayawan Yayasan Sabah Bersama Rakyat Peringkat Zon Pantai Barat Utara di Dataran Kilapi, Kampung Rampayan Laut di sini pada Ahad.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Hajiji berkata Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) turut memperhebat pelbagai program keusahawanan, latihan kemahiran, pertanian, perikanan dan pembangunan luar bandar yang disusun secara praktikal dan berpaksikan keperluan komuniti setempat.
“Dalam menyokong agenda Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya, kerajaan melalui KYS komited memperkukuh infrastruktur ekologi dan daya tahan iklim negeri,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa usaha konservasi alam sekitar bukan sekadar langkah perlindungan, tetapi juga tanggungjawab moral dan sosial kerajaan dalam memastikan warisan semula jadi Sabah kekal lestari untuk generasi akan datang. – SABAH MEDIA



