Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mencampuradukkan antara perbelanjaan biasa dengan kewajipan perlembagaannya terhadap Sabah, kata bekas Presiden Persatuan Peguam Sabah (SLS), Datuk Roger Chin.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober lalu adalah sangat jelas bahawa hak 40 peratus hasil negeri adalah hak perlembagaan, bukan perkara untuk dirundingkan. Ia mewakili 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah dan bukan jumlah yang Putrajaya pilih untuk dibelanjakan di sini.
“Peruntukan untuk sekolah, hospital, jalan raya atau keselamatan adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kepada semua rakyat Malaysia dalam sistem Persekutuan bukan sebahagian daripada geran khas 40 peratus yang wajib dibayar khusus kepada Sabah.
“Perlembagaan bukan tentang kemurahan hati. Ia tentang kewajiban, ketelusan dan penghormatan kepada janji yang menubuhkan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad berhubung hak tersebut.
Roger berkata kenyataan Perdana Menteri mengenai hak 40 peratus menunjukkan “salah faham yang serius” terhadap hak negeri ini.
“Apabila Perdana Menteri berkata RM10 bilion dikutip dan RM17 bilion ‘dikembalikan’, beliau sebenarnya mencampuradukkan dua perkara berbeza iaitu perbelanjaan persekutuan dan pembayaran semula berdasarkan perlembagaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa perbandingan seperti itu tidak mempunyai makna selagi kerajaan tidak mendedahkan pecahan jelas yang menunjukkan mengenai jumlah hasil yang dikutip daripada Sabah, jumlah yang dikembalikan di bawah Perkara 112C, dan jumlah yang dibelanjakan untuk fungsi biasa kerajaan persekutuan.
“Selagi angka-angka ini tidak didedahkan, tiada sesiapa secara tepat boleh mengatakan bahawa Sabah telah menerima lebih daripada apa yang diberikannya,” katanya.
Roger berkata apabila Perdana Menteri berkata “datang dengan fakta dan angka” untuk membincangkan isu 40 peratus itu, ia merupakan kenyataan yang bersifat merendahkan seolah-olah rakyat Sabah tidak memahami.
“Bagaimana rakyat Sabah boleh mengemukakan angka jika kerajaan persekutuan sendiri enggan mendedahkan data tersebut?”
“Jika benar Putrajaya berpaksikan kepada fakta, maka dedahkanlah. Tunjukkan hasil, tunjukkan pemotongan, tunjukkan pembayaran.
“Sehingga itu berlaku, meminta rakyat Sabah ‘datang dengan fakta’ sebenarnya hanyalah mengejek ketidakmakluman yang sengaja diwujudkan oleh Kerajaan Persekutuan demi kesenangan dan keuntungan sendiri,” katanya.



