Oleh: Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Keputusan sama ada Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu geran khas 40 peratus hasil Sabah akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata keputusan itu akan dibuat selepas mendengar penjelasan dan nasihat rasmi daripada Peguam Negara berhubung penghakiman yang menegaskan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan selama hampir lima dekad adalah tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan.
“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kita belum putuskan sama ada akan merayu atau tidak. Saya sudah jelaskan pandangan peribadi saya yang lebih cenderung untuk tidak merayu.
“Bagaimanapun, kena dengar dahulu pandangan Peguam Negara, baca penghakiman, kemudian barulah buat keputusan, kita mesti ikut proses,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Jelajah Malaysia Digital (JMD) Sabah 2025 di Pasar Taman Semarak di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Datuk Seri Masidi Manjun yang mewakili Ketua Menteri; Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Anuar Fariz Fadzil.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan membuat keputusan berasaskan fakta dan prinsip undang-undang dan bukannya tekanan atau sentimen semasa.
“Sebagai pemimpin, kita tak boleh panik. Kita kena faham keresahan rakyat Sabah, tapi dalam masa sama kita juga mesti menghormati Perlembagaan dan proses undang-undang,” ujarnya.
Mengulas tindakan Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi semalam, Anwar menyifatkan langkah itu sebagai tergesa-gesa kerana keputusan Kabinet mengenai rayuan masih belum dimuktamadkan.
“Beliau ada maklumkan perkara itu, tetapi surat rasmi belum diterima. Saya faham mungkin beliau rasa terdesak dengan keadaan ini, tapi bagi saya ia terlalu awal untuk membuat keputusan sedemikian,” jelasnya.
Dalam pada itu, Anwar menafikan rombakan Kabinet dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sebaliknya menegaskan tumpuan utama kerajaan kini ialah menyelesaikan isu rayuan tersebut.
“Rombakan Kabinet tidak dibincangkan. Fokus kami sekarang ialah memuktamadkan soal sama ada akan merayu atau tidak (berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu) dan kita akan selesaikan esok,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut mengulas mengenai rayuan penduduk Felda Umas di Tawau yang meminta campur tangan kerajaan dalam isu tuntutan lot tanah untuk generasi kedua.
“Saya minta penduduk supaya bersabar. Kita akan lihat dulu ulasannya dan bincang dengan baik. Kerajaan telah memperuntukkan RM1 bilion setahun untuk membantu penyelesaian hutang Felda,” katanya.



