KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).
Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata, parti itu akan memberi sokongan penuh kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negeri.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas pertimbangan mendalam terhadap landskap politik dan ekonomi semasa, baik di peringkat negeri mahupun antarabangsa.
“LDP berpendapat bahawa pertukaran kerajaan yang kerap tidak semestinya menjamin tadbir urus yang lebih baik atau kemakmuran ekonomi.
“Sebaliknya, ketidakstabilan politik yang berterusan sering menjejaskan keyakinan pelabur dan menghalang kemajuan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Chin menegaskan bahawa perpaduan rakyat Sabah merupakan kunci utama untuk membina masa depan yang stabil dan sejahtera.
“Kami akan menumpukan usaha untuk membantu GRS pada pilihan raya kali ini. Kestabilan politik adalah asas kepada pembangunan jangka panjang dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Menurut beliau, LDP turut mengambil kira keseimbangan kuasa antara parti-parti politik di Sabah, sambil menyatakan bahawa kekuatan sebenar Sabah hanya dapat dijamin melalui peningkatan pengaruh di peringkat Parlimen.
“Walaupun WARISAN memiliki beberapa kerusi DUN, keterbatasannya di Parlimen mengekang keupayaannya untuk mempengaruhi dasar persekutuan atau pengagihan sumber.
“Oleh itu, memperkukuh kekuatan Parlimen Sabah adalah satu-satunya cara untuk menjamin manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.
Dengan keputusan itu, LDP akan berperanan sebagai rakan strategik dalam gabungan GRS, memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh perpaduan politik dan pembangunan ekonomi Sabah secara menyeluruh. – SABAH MEDIA



