Oleh Mu Vitet
KOTA KINABALU: Menara Jam Atkinson yang berusia lebih seabad kini dibuka semula kepada pelancong dan orang ramai selepas kerja-kerja pembangunan landskap dan memperindah kawasan bernilai RM11 juta siap dilaksanakan menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, projek berkenaan dilaksanakan bagi memelihara warisan bersejarah bandar raya ini sambil menambah nilai rekreasi, pendidikan dan pelancongan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, antara komponen utama projek ialah kerja landskap, penambahbaikan tempat duduk, pemasangan sistem pencahayaan baharu serta kamera litar tertutup (CCTV) sepanjang laluan kanopi di kawasan terbabit.
“Menara Jam Atkinson yang setinggi 13.7 meter ini telah menyaksikan perjalanan sejarah dan pembangunan bandar selama lebih satu abad. Ia dibina pada tahun 1905 sebagai memperingati Francis George Atkinson, Pegawai Daerah pertama Jesselton yang meninggal dunia akibat malaria pada 6 Disember 1902,” katanya semasa merasmikan projek berkenaan di tapak menara bersejarah itu di pusat bandar hari ini.
Tambah Dr Sabin, projek turut melibatkan pembinaan tembok penahan dan sistem saliran bagi mengurangkan risiko hakisan tanah, penambahbaikan kemudahan awam seperti tandas, papan tanda, kemudahan mesra OKU serta pembinaan laluan kanopi sepanjang 500 meter yang menghubungkan Menara Jam Atkinson ke Menara Pemerhati Signal Hill.
Kerja-kerja lain termasuk pembaikan dan naik taraf Menara Pemerhati Signal Hill melibatkan aspek keselamatan, pencahayaan dan akses pelawat, selain pemasangan pagar dan sistem pencahayaan baharu di sekitar kawasan menara, katanya.
“Projek memperindah ini juga dilaksanakan bersempena sambutan ulang tahun ke-120 Menara Jam Atkinson tahun ini,” jelasnya.
Beliau berkata, DBKK dengan sokongan Kementerian Ekonomi melalui Koridor Pembangunan Sabah di bawah Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), berjaya menyiapkan projek berkenaan pada 13 September 2025.
“Usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk memelihara khazanah warisan tidak ternilai sambil membangunkan infrastruktur bandar yang lebih moden, selesa dan bermanfaat kepada penduduk serta pelancong,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai; Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Hashim Paijan; dan Ketua Pengarah DBKK, Datuk Lifred Wong.



