PRN SABAH
HomeSukanPiala FA : Sabah FC 'ikat' Selangor FC di Likas

Piala FA : Sabah FC ‘ikat’ Selangor FC di Likas

Read Time:1 Minute, 18 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit mengikat Selangor FC 2-2 dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Likas malam tadi.

Selangor yang hadir dengan misi menebus kekecewaan selepas tersingkir daripada saingan ACL2, hampir membawa pulang bekalan selesa ke Shah Alam, namun Ajdin Mujagic menjadi penyelamat Sang Badak dengan jaringan penyamaan di hujung perlawanan.

Aksi bermula rancak apabila Selangor dilihat lebih menguasai permainan dan menyangka telah membuka tirai jaringan seawal minit kelapan menerusi Alvin Fortes, namun gol itu dibatalkan akibat ofsaid.

Kesilapan itu menghukum pelawat apabila Mujagic meletakkan Sabah di depan pada minit ke-13. Penyerang Bosnia-Herzegovina itu tidak mensia-siakan peluang kedua selepas percubaan awalnya ditepis Sikh Izhan Nazrel.

Selangor terus menggandakan asakan dan sekali lagi beranggapan mereka telah menemui gol penyamaan menerusi Fortes pada minit ke-18 — namun bendera ofsaid sekali lagi berkibar, menafikan keceriaan penyokong Merah Kuning.

Babak kedua menyaksikan perubahan taktikal apabila pengendali interim Selangor, Christophe Gamel, memasukkan Fazly Mazlan dan Willian Lira untuk menghidupkan semula serangan.

Pertukaran itu membuahkan hasil apabila Fazly menyamakan kedudukan pada minit ke-64 selepas hantaran lintangnya terkena peha Dane Ingham lalu menerjah gawang Damien Lim.

Semangat Selangor semakin membara, dan mereka akhirnya mendahului pada minit ke-80 apabila tandukan Nooa Laine hasil hantaran cantik Faisal Halim menjadikan kedudukan 2-1.

Namun, sorakan penyokong pelawat bertukar hampa apabila Mujagic sekali lagi menjadi duri dalam daging, menyempurnakan peluang keemasan pada minit ke-90 untuk mengikat kedudukan 2-2 — memastikan Sabah tidak pulang tangan kosong menjelang aksi timbal balik pada 30 November nanti.

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala FA : Sabah ke pentas akhir selepas penantian 27 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular