KOTA KINABALU : Pusat U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) membuktikan keupayaannya sebagai peneraju pendidikan sains komuniti apabila berjaya menjadi tuan rumah utama Program Astronomi Inklusif@Sabah 2025.
Ia merupakan satu inisiatif bermakna yang bukan sekadar memperkasa bidang sains angkasa, tetapi turut memperkukuh nilai kemanusiaan dan inklusiviti dalam pendidikan sains negara.
Program berimpak tinggi tersebut menghimpunkan seramai 277 pelajar sekolah rendah dan menengah, termasuk murid berkeperluan khas dari seluruh sekolah sekitar Sabah.
Matlamat utamanya adalah untuk memperluas akses kepada pendidikan sains angkasa melalui pendekatan pembelajaran yang inklusif dan interaktif.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen tinggi UMS dalam mendukung agenda Malaysia MADANI melalui pendidikan sains berteraskan nilai ihsan, kemanusiaan dan keadilan.
“Kita mahu sains dan astronomi menjadi medan pembelajaran yang dapat dirasai oleh semua tanpa mengira latar belakang atau keupayaan fizikal mahupun batas geografi.
“Pelaksanaan program inklusif seperti ini memperlihatkan usaha berterusan MOSTI dan UMS dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada arus pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program berkenaan yang berlangsung di Perpustakaan UMS, baru-baru ini.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti interaktif dijalankan di sekitar kampus UMS dengan penyertaan lebih 30 sukarelawan UMS, termasuk pencerapan bintang, pelancaran roket mini, Planet VR, mini planetarium, bengkel astronomi untuk murid berkeperluan khas, dan pameran Petrosains.
Program Astronomi Inklusif@Sabah 2025 merupakan anjuran bersama MOSTI, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Planetarium Negara, U-Science UMS, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Hibiscus Petroleum Berhad.
Program ini secara keseluruhan menzahirkan komitmen UMS, khususnya melalui U-Science, untuk menjadikan sains lebih dekat kepada masyarakat, serta memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin kepada pembangunan ilmu dan nilai sejagat.
Hadir sama Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Setiausaha Tetap Kementerian Sains dan Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Hassan Mahali dan Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.



