Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, Datuk Samad Jambri, tekad mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) akan datang, dengan fokus meneruskan projek pembangunan dan program kebajikan rakyat di kawasan tersebut.
Sebagai calon Gagasan Rakyat Sabah (GRS), Samad berkata antara keutamaan beliau ialah memastikan inisiatif yang dimulakan sepanjang penggal lalu dapat disempurnakan dan memberi manfaat langsung kepada penduduk.
“Sebagai penyandang dan sekali lagi diberikan kepercayaan oleh pimpinan untuk bertanding di bawah GRS, fokus kami adalah memastikan segala agenda pembangunan yang telah dirancang dapat diteruskan dengan lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Rabu.
Beliau menjelaskan, beberapa inisiatif masih berjalan termasuk pembangunan prasarana asas luar bandar serta program ekonomi rakyat yang dirancang di bawah kerajaan GRS.
“Dalam tempoh satu penggal, tidak semua dapat kita laksanakan. Sebab itulah kali ini merupakan kesinambungan untuk melaksanakan apa yang telah digariskan oleh pimpinan kerajaan,” tambahnya.
Menurutnya, GRS komited menumpukan perhatian terhadap aspek kebajikan rakyat serta pembangunan ekonomi dan prasarana luar bandar bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan Labuk.
Labuk merupakan salah sebuah DUN di Parlimen Beluran, selain dua DUN lagi ialah Telupid dan Sugut. – SABAH MEDIA



