Oleh Raul G
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Filipina tahanan Orang Kena Tuduh (OKT) maritim diburu polis selepas melarikan diri di Jalan Bukit Kelawat, di sini, ketika diiring dari Kudat ke Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika empat OKT warga Filipina sedang diiring menggunakan kenderaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Katanya, kejadian itu berlaku ketika kenderaan pasukan APMM melalui Jalan Bukit Kelawat dan dalam perjalanan mengiringi semua OKT berkenaan dari Kudat menuju ke Penjara Kepayan, Kota Kinabalu.
“Salah seorang daripada OKT berkenaan yang dituduh mengikut Seksyen 55A Akta Imigresen dipercayai membuka gari berantai lalu terjun keluar melalui tingkap kenderaan.
“Anggota pengiring cuba mengejar suspek namun gagal manakala suspek kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran Kampung Bundu, Kota Belud,” katanya hari ini.
Menurut Shahrudin, usaha mengesan suspek terbabit sedang giat dijalankan dengan bantuan pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan”.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan suspek, diminta segera menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Belud di talian 088-973308,” ujarnya. – SABAH MEDIA / FOTO PDRM



