SANDAKAN: Calon Pakatan Harapan N.54 Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, yakin dengan jentera pilihan rayanya yang bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17.
Keyakinan ini disokong oleh kesepaduan dan sokongan kukuh daripada kepimpinan akar umbi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), khususnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
George berkata, beliau telah mengadakan pertemuan santai dengan ketua-ketua cawangan Gagasan Rakyat, ketua-ketua kampung, serta barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Dalam pertemuan tersebut, mereka menyatakan komitmen penuh untuk terus berdiri bersamanya dan berusaha mempertahankan kerusi Karamunting.
“Sokongan ini melambangkan kesatuan masyarakat setempat yang mahu memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan ini,” jelas George.
Sokongan padu tersebut dikatakannya telah mengukuhkan lagi semangkanya untuk melalui kempen yang bakal berlangsung. Beliau menekankan kepentingan memastikan seluruh jentera bergerak sebagai satu pasukan yang utuh dan tidak berpecah.
“Kita mesti bekerjasama, satu hati, tidak berpecah. Kita masuk gelanggang ini bersama-sama dan kita bertempur bersama-sama. Ini penting untuk kekuatan jentera kita, bagi memastikan setiap pelusuk Karamunting dapat digerakkan dengan teratur,” tegas George.
George turut menegaskan bahawa kestabilan kerajaan Sabah yang sedia ada adalah penting untuk memastikan kelangsungan pembangunan di Karamunting.
“Kita mahu kekalkan kerajaan yang sedia ada kerana hanya dengan kestabilan, lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan. Rakyat sudah melihat hasilnya dan kita mahu terus membawa perubahan yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan bahawa keyakinan dan kepercayaan daripada kepimpinan akar umbi merupakan kekuatan utama jentera pilihan rayanya di Karamunting.



