Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang bertanding atas tiket Bebas dipecat serta merta, kata Setiausaha Agung Gagasan Datuk Mohammad Razali Razi.
Menurutnya tindakan bertanding atas tiket Bebas adalah bertentangan dengan pendirian dan keputusan parti sebagai komponen dalam Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Gagasan Rakyat telah memberi amaran bahawa mana-mana anggota parti yang memilih untuk bertanding sebagai calon bebas dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah 2025 akan dipecat.
“Gagasan Rakyat menegaskan bahawa mana-mana individu yang membuat keputusan untuk bertanding sebagai calon Bebas tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan parti dan mana-mana pimpinan parti, walaupun mereka merupakan ahli Gagasan Rakyat.
“Sehubungan itu, pihak parti telah membuat keputusan untuk memecat serta merta mana-mana ahli parti yang melanggar ketetapan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Gagasan Rakyat menyeru semua penyokong dan jentera parti untuk memperkuatkan kesatuan serta fokus sepenuhnya dalam menghadapi PRU Sabah ke-17, dengan memastikan kemenangan calon-calon daripada GRS demi masa depan dan kepentingan rakyat Sabah. – SABAH MEDIA



