Oleh Raul G
TUARAN: “Saya yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh mandat kukuh untuk membentuk kerajaan,” demikian kata Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau yang juga Ketua Menteri itu berkata, mereka akan mengekalkan kedudukan dalam mentadbir kerajaan negeri, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17 selesai dijalankan.
“Keputusannya jelas, saya yakin GRS dan PH akan membentuk kerajaan,” katanya ketika ditemui selepas memfailkan borang pencalonannya di Pusat Penamaan Calon (PPC), Dewan Seri Sulaman di sini, hari ini.
Hajiji, yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, tiba di pusat penamaan calon pada jam 9 pagi, diiringi kepimpinan GRS serta ribuan penyokong.
Turut bersama beliau adalah penyandang DUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya; penyandang DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai; serta calon baharu bagi DUN Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface.
Bagi kerusi Sulaman, Hajiji berdepan saingan lima penjuru. Jasnih pula menghadapi tujuh penjuru di Pantai Dalit.
Joniston mwmpertahankan kerusi disandangnya dalam persaingan lapan penjuru di Kiulu manakala Dr Bonaventure bakal bertanding dalam pertandingan 13 penjuru di Tamparuli.
Mengulas situasi di Sulaman, Hajiji berkata beliau optimis GRS mampu meraih kemenangan besar di kawasan itu.
“Kita sudah mengetahui calon-calon yang bertanding di kawasan Sulaman. Inilah demokrasi, sesiapa sahaja boleh bertanding.
Tetapi saya amat yakin calon GRS akan menang dengan majoriti yang besar di kawasan Sulaman,” katanya.
Hajiji turut menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17 Sabah.
“Bagi parti-parti lain yang bertanding, kita boleh terima namun ahli-ahli Gagasan Rakyat dan GRS yang bertanding sebagai calon Bebas, kita akan mengambil tindakan untuk memecat mereka daripada parti,” ujar beliau.



