Oleh J Evachel John
PUTATAN: Calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Shah Alfie Yahya yang juga adik kepada Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya melihat pertarungan 11 penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat sebagai cerminan keterbukaan proses demokrasi di Sabah.
Dalam kemunculan sulungnya di gelanggang politik, Shah Alfie tampil tenang dan matang, sambil menyifatkan persaingan sengit itu sebagai ruang untuk semua calon menunjukkan kemampuan sebenar masing-masing.

Beliau juga tidak menafikan bahawa persoalan pengalaman pasti berbangkit, namun yakin rekod khidmatnya menjadi asas kukuh untuk turun menyantuni pengundi.
“Aspirasi saya sudah tentu mendahului golongan belia yang membentuk kira-kira 60 peratus pengundi di DUN Tanjung Keramat, namun golongan usia lain juga tidak saya lupakan,” katanya.
Shah Alfie turut memaklumkan beliau membawa pengalaman tiga tahun sebagai Pegawai Khas Pejabat Parlimen Putatan, selain berperanan sebagai Setiausaha Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sekali gus memberinya gambaran jelas terhadap isu dan keperluan masyarakat setempat.
Tambahnya, beliau percaya keyakinan serta strategi tersusun mampu membantunya meraih kemenangan, selain berharap kempen kali ini berlangsung dalam suasana harmoni dan profesional demi kepentingan pengundi.
Dalam pada itu, beliau tidak menafikan hubungan kekeluargaannya menarik perhatian awam, namun menegaskan pencalonannya bukan berdasarkan populariti semata-mata.
“Ini bukan isu besar. Pencalonan saya adalah urusan parti dan telah mendapat mandat pucuk pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gagasan Rakyat,” katanya.
Beliau menambah, meskipun perkara itu menjadi perbualan hangat, ia tidak akan dijadikan sandaran untuk meraih undi.
“Ia bukan penanda ukur untuk saya bersenang-senang atau menggunakan populariti sedia ada. Saya mahu menawarkan khidmat dengan acuan saya sendiri sebagai calon muda demi kelangsungan aspirasi anak muda tempatan di Putatan.”
Pada PRU Sabah nanti Shah Alfie berdepan 10 lagi calon lain iaitu Sugarah @ Segarah Miasin (KDM), Farish Adamz @ Kanny (Perikatan Nasional), Jeffery Nor Mohamed (BN), Saifullah Phang (Bebas), Mahadthir Asbollah (Parti Impian Sabah), Mil Kusin Abdillah (Anak Negeri), Azni Mohd Salleh (STAR), Rosdy Wasli (UPKO), Mohammad Firdaus Diun @ Awang (Warisan), dan Jasni Matlani (Parti Bumi Kenyalang).




