Oleh Florieta Diet
TAMBUNAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Tambunan, Dato’ Victor P. Paut bertekad menjadikan Tambunan sebagai daerah lestari, maju dan sejahtera.
Beliau berkata visi itu berteraskan pembangunan ekonomi, sosial dan kebudayaan yang seimbang serta berpaksikan nilai komuniti, warisan dan inovasi.
“Ini antara visi saya jika diberi mandat selepas pilihan raya ini,” katanya.
Menggariskan misinya, Victor berkata beliau komited memperkukuh ekonomi masyarakat melalui perusahaan tani moden, keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti pelancongan.
Beliau juga mahu memperkasakan masyarakat melalui pendidikan, peluang pekerjaan dan pembangunan belia dan wanita, selain mempromosi identiti kebudayaan Dusun Tambunan.
Aspek infrastruktur turut diberi tumpuan termasuk menaik taraf kemudahan dan teknologi yang inklusif bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Victor berkata, beliau juga akan memberi tumpuan terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat antaranya menyediakan bayaran daftar pesakit luar hospital Tambunan.
“Saya juga akan menyediakan sumbangan kanopi ke setiap kampung untuk kegunaan kebajikan, pemasangan lampu solar di setiap kampung, terutama kawasan yang gelap.
“Mewujudkan sistem aduan digital untuk setiap aduan penduduk direkod dan diselesaikan dengan pantas, sumbangan kerusi ke semua kampung, rumah ibadat dan sekolah yang memerlukan, pembiayaan yuran kursus pra perkahwinan percuma kepada semua penduduk tidak mengira agama serta menubuhkan Program Tambunan Peduli (pusat penyaluran bantuan kebajikan segera),” katanya.
Beliau memgucapkan terima kasih kepada penyokong parti yang hadir memberi sokongan moral kepadanya semasa penamaan calon pada Sabtu.
“Ini adalah pertama kali saya bertanding dalam pilihan raya dan berharap akan mendapat sokongan padu daripada penduduk di DUN Tambunan,” katanya.
Viktor akan berdepan pertandingan tujuh penjuru di DUN Tambunan, mencabar penyandang yang digelar ‘giant killer’, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), bersama lima calon lain.
Turut bertanding ialah Gulit Rukag (Parti Damai Sabah – SPP), Jikol Tagua (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat – KDM), Dionysia Ginsos (Parti Kerjasama Anak Negeri – Anak Negeri), Kenneth Edwin N. (Parti Impian Sabah – PIS) dan Bianus Kontong (Parti Warisan Sabah – Warisan).



