Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Inisiatif Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS) cawangan bandaraya Kota Kinabalu membangunkan sebuah ruang khas bagi melaksanakan program kebudayaan dilihat berupaya memperkukuh kebudayaan komuniti tersebut.
Naib Presiden PRBSS Datuk Jumat Idris berkata, inisiatif itu turut mendapat perhatian Kerajaan negeri yang sentiasa membantu dan menyalurkan sokongan kepada seluruh etnik di Sabah termasuk etnik Bajau Sama.

“Inisiatif yang digerakkan oleh pengerusi PRBSS cawangan bandaraya Kota Kinabalu itu disifatkan sebagai langkah penting untuk memastikan masyarakat Bajau Sama mempunyai ruang khas bagi melaksanakan latihan kebudayaan, seni persembahan dan aktiviti komuniti.
“Memandangkan sebahagian besar penduduk di kawasan ini ialah masyarakat Bajau Sama, pembinaan sebuah dewan yang kondusif amat diperlukan bagi memberi ruang kepada mereka mempraktikkan budaya mereka dengan lebih teratur dan menyatupadukan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis perasmian Dewan Komuniti Bestari PRBSS cawangan Bandaraya Kota Kinabalu di Kampung Unggun di sini pada Selasa.

Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Agung PRBSS Datuk Abdul Kassim Razali bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hadir sama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Arshad Idris.
Jumat turut memuji kepimpinan Ketua Menteri yang juga presiden PRBSS Datuk Seri Hajiji Noor, yang menyokong pelbagai program kebudayaan Bajau Sama hingga berjaya membawa acara Pesta Budaya Rumpun Bajau Sama.
Katanya, pesta itu menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan negeri yang diadakan di Rumah Bajau Sama Tuaran, yang kini menjadi pusat rujukan budaya Bajau Sama di Sabah.
“Kota Kinabalu adalah cabang kepada pusat tersebut. Kita mahu memperluaskan lagi ke Putatan dan daerah lain, agar generasi muda Bajau mempunyai tempat untuk berlatih, berkarya dan menghayati budaya serta bahasa mereka,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan terhadap trend penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda yang semakin merosot.
“Ramai anak-anak Bajau Sama kini menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama di rumah. Jika dibiarkan, bahasa ibunda kita boleh pupus. Ini bukan hanya isu Bajau Sama, tetapi isu semua etnik di Sabah,” katanya.
Menurutnya, Sabah mempunyai kekayaan etnik dan bahasa yang perlu dipelihara sebagai identiti unik negeri itu. Kesedaran tersebut menjadi asas kepada perpaduan Sabah yang sentiasa kukuh.
“Bila soal hak dan kepentingan Sabah dibangkitkan, semua etnik berdiri bersama. Inilah kekuatan Sabah dan Sarawak — perpaduan tanpa mengira suku dan agama. Justeru kita tidak mahu masyarakat terpengaruh dengan tohmahan luar, terutama menjelang tempoh pilihan raya,” katanya.
Beliau menyeru agar PRBSS Kota Kinabalu tidak hanya melaksanakan program secara bermusim, tetapi menggandakan aktiviti sepanjang tahun demi kepentingan generasi muda dan kelangsungan budaya Bajau Sama. – SABAH MEDIA



