RANAU: Sabah adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, dan kedudukan ini membolehkan adanya kerjasama untuk memajukan negeri Sabah.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kerajaan pusat merupakan sebahagian daripada Sabah dan negeri ini berhak menuntut hak-haknya.
Masidi, calon GRS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, menyatakan bahawa adalah lebih baik hubungan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diperkukuhkan.
“Sekarang, banyak pemimpin dari Sabah dalam Kerajaan Persekutuan memegang jawatan serta portfolio penting.
“Adalah lebih baik kita menjalin hubungan yang baik daripada bermusuh dengan Kerajaan Persekutuan kerana banyak manfaat dapat diperoleh dan kita juga berhak untuk merealisasikan usaha memajukan negeri ini,” kata Masidi ketika beramah mesra dengan penduduk di Dewan Kampung Kibbas, pada Selasa.
Pada hari yang sama, Masidi turut mengunjungi Dewan Kampung Kibbas Atas dan Dewan Kampung Lipasu Lama untuk bertemu dan beramah mesra dengan penduduk di kawasan tersebut.
Katanya lagi, dalam pilihan raya ini, GRS boleh membentuk kerajaan dengan mudah bila mempunyai majoriti dua pertiga, iaitu sebanyak 55 kerusi dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH).
“Kita bekerjasama dengan PH, namun kitalah yang menetapkan syarat serta membuat keputusan sendiri dalam mentadbir negeri ini, GRS telah menunjukkan keupayaannya untuk melindungi dan memperkukuh hak-hak kita.
“Oleh itu, marilah kita bersatu untuk memastikan parti tempatan terus meraih kemenangan,“ kata Masidi.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan menubuhkan SMJ Energy Sdn Bhd, syarikat minyak dan gas yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri, merupakan pencapaian signifikan dalam usaha memperkasa ekonomi Sabah.
“SMJ Energy ditubuhkan dengan modal RM50 juta hasil rundingan dengan Petronas bagi memberi ruang lebih luas kepada Sabah untuk terlibat secara langsung dalam industri minyak dan gas, hari ini, syarikat itu sudah bernilai RM5 bilion dari segi aset, Ini kerana wujudnya hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Katanya lagi, kerajaan ini telah menetapkan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada orang tempatan, khususnya rakyat negeri ini, sejajar dengan peranan syarikat berkenaan sebagai entiti milik penuh kerajaan negeri Sabah dalam sektor minyak dan gas.
Masidi mahu pemimpin negeri ini mendahulukan suara rakyat dan menumpukan sepenuhnya kepada pembangunan bukannya terus berpolitik tanpa henti.
Beliau menegaskan kestabilan politik yang kukuh di negeri ini kerana hanya melalui suasana politik yang stabil, kerajaan dapat merancang dan melaksanakan pembangunan secara berkesan demi kepentingan rakyat.



