Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pengetua SMKA Tun Mustapha memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak mengetahui mengenai penutupan telefon awam di asrama selama dua hari selepas Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri.
Shaharoom Hashim, 51, berkata arahan itu dibuat sendiri oleh Ketua Warden, Ustaz Azhari, tanpa merujuk kepadanya.
Saksi ke-47 itu berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Pegawai Pengendali Pegawai Pengendali Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Pegawai Pengendali: Selepas kejadian, cikgu tahu tak yang telefon awam di asrama telah ditutup selama dua hari?
Saksi: Tidak
Pegawai Pengendali: Siapa yang beri arahan agar telefon asrama tersebut ditutup?
Saksi: Ustaz Azhari, ketua warden
Pegawai Pengendali: Sebelum Ketua Warden memberi arahan tersebut, adakah Ketua Warden meminta kebenaran daripada cikgu sebagai Pengetua?
Saksi: Tidak ada
Pegawai Pengendali: Jadi, tindakan Ustaz Azhari mengarahkan telefon ditutup keputusan dia sendiri kah?
Saksi: Betul
Pegawai Pengendali: Sebagai pengetua kenapa cikgu tidak halang keputusan untuk tutup telefon awam dua hari?
Saksi: Saya tidak dimaklumkan dan pada hari tersebut saya berada di hospital
Pegawai Pengendali: Dalam tempoh tersebut, bagaimana pelajar-pelajar nak hubungi ibu bapa mereka jika ada kecemasan?
Saksi: Lazimnya, mereka akan merujuk warden atau guru bertugas.
Terdahulu dalam kenyataan saksi, Shaharoom berkata dia memulakan tugas sebagai Pengetua Sekolah di SMKA Tun Datu Mustapha Kinarut sejak 4 April 2025.
“Selama saya bertugas sebagai pengetua di sekolah tersebut, saya tidak pernah menerima sebarang aduan daripada pelajar berkaitan isu buli atau masalah sekolah. Zara juga tidak pernah membuat sebarang aduan berhubung masalah peribadinya kepada pihak sekolah atau sebarang konflik dengan mana-mana individu.
“Ibu bapa Zara juga tidak pernah berjumpa dengan saya berkenaan apa-apa permasalahan yang dihadapi oleh Zara di sekolah, dan mereka juga tidak pernah dipanggil ke sekolah atas apa-apa sebab,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, saksi keenam iaitu pegawai keselamatan keselamatan sekolah berkenaan, Linah Mansoding @ Jaliha mendedahkan bahawa ‘public phone’ asrama ditutup selama dua hari dua malam selepas Zara ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Menurut Linah “Ketua warden suruh tutup.”
Manakala, Ketua warden, Azhari Abd. Sagap ketika memberikan keterangan sebagai saksi kelapan inkues menafikan mengarahkan suis telefon awam ditutup.
Menurutnya, ayat beliau dalam `group WhatsApp’ warden dan seorang guru, adalah ‘haramkan pelajar buat panggilan telefon hari ini’, yang mana arahannya itu hanya untuk 16 Julai sahaja.



