Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: “Saya telah bersedia untuk berkhidmat dan berjuang demi rakyat Likas.” Demikian tekad calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas, Datuk Phoong Jin Zhe, ketika mengumumkan kesediaannya kembali ke kawasan yang banyak membentuk perjalanan hidup serta kerjaya politiknya.
Phoong yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik Sabah (DAP) Sabah berkata, pemilihannya ke Likas adalah suatu amanah besar yang digalas dengan penuh rendah diri dan rasa syukur selepas memulakan perjuangan politiknya di Luyang.
Menurutnya, Likas bukan sekadar sebuah kawasan, tetapi tempat beliau membesar. Dari tadika hingga ke sekolah menengah telah membentuk asas peribadi dan semangat perjuangannya.
“Luyang membesarkan saya, dan kini saya kembali ke Likas yang telah mendidik saya. Perjalanan ini mengingatkan saya tentang amanah yang lebih besar,” katanya dalam lampiran manifestonya.
Beliau berkata, Likas adalah sebuah kawasan yang seimbang antara pembangunan dan ketenangan, merangkumi pelbagai ikon yang menjadi nadi bandar raya ini.
Dari Jalan Gaya, kawasan pelabuhan lama yang pesat membangun, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Masjid Terapung, Teluk Likas, sekolah, kompleks sukan hingga ke kawasan kediaman dan rumah ibadat yang memupuk keharmonian.
“Likas ialah sebuah komuniti dengan potensi besar dan masa depan yang cerah. Saya yakin dan bersedia memimpin Likas ke arah kegemilangan baharu,” katanya.
Phoong turut menegaskan bahawa pengalaman beliau dalam kerajaan negeri memberikan asas kukuh untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada penduduk Likas.
Dalam tempoh dua tahun sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sabah, beliau berkata negeri itu berjaya mencatat rekod pelaburan cemerlang.
Antaranya, jumlah tenaga kerja Sabah meningkat sebanyak 170,000 dalam tempoh setahun setengah, manakala kadar pengangguran menurun ke paras terendah sejak pandemik.
“Langkah demi langkah, kami berjaya merealisasikan visi ‘Kilang Masuk, Anak Pulang, Sabah Maju Cemerlang’,” katanya sambil menambah bahawa pembangunan industri terus membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan muda.
Beliau berharap pengundi Likas memberi mandat kepada beliau dan pasukan Pakatan Harapan–DAP untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil dan makmur.
“Ini tugas yang saya sanggup laksanakan sepenuh hati. Saya berharap mendapat kepercayaan para pengundi Likas untuk sama-sama membina masa depan yang lebih gemilang,” katanya.



