PRN SABAH
HomePRNN.17 DARAUManifesto GRS menyeluruh, realistik, tekankan kepentingan SMJ 2.0 – Razali

Manifesto GRS menyeluruh, realistik, tekankan kepentingan SMJ 2.0 – Razali

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai ‘menyeluruh dan realistik’ yang merangkumi pelbagai aspek khusus kepada seluruh lapisan rakyat di negeri ini.

Calon GRS kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi berkata, ia termasuklah aspek pembangunan, peluang anak muda, pemberdayaan wanita serta fokus utama kepada kelangsungan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Katanya, kesinambungan hala tuju SMJ 2.0 amat penting bagi memastikan pembangunan negeri tidak tergendala akibat pertukaran kerajaan yang kerap.

“Manifesto ini menyeluruh… tetapi yang paling penting ialah kesinambungan SMJ 2.0. Kita tidak boleh kehilangan haluan ini.

“Matlamat kita adalah kestabilan. Jangan lagi tukar-tukar kerajaan, nanti yang rugi adalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran Manifesto GRS bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) pada Isnin di Pusat Konvensyen Antabangsa Sabah (SICC) di sini.

Manifesto itu dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Razali berkata, rakyat Sabah tidak boleh lagi dibebani dengan ketidakstabilan politik yang membawa kesan langsung terhadap prestasi pembangunan negeri.

Mengulas mengenai isu ‘tiga serangkai’ termasuk air, elektrik dan jalan raya, Razali menegaskan bahawa usaha penyelesaian telah lama berjalan dan bukan sekadar janji dalam manifesto.

“Jangan tengok manifesto semata-mata. Sebelum manifesto pun, banyak projek sedang dan sudah dilaksanakan untuk selesaikan tiga serangkai ini. 

“Manifesto hanyalah sebahagian daripada ‘puzzle’ kepada isu-isu yang sedang ditangani. Tahun depan banyak projek siap. Ia bukan retorik, ia sedang berlaku di lapangan,” katanya.

Mengulas kebimbangan bahawa pertukaran kerajaan berpotensi melambatkan projek serta menukar kontraktor, Razali mengingatkan rakyat bahawa keadaan itu hanya akan mengundang lebih banyak kerugian.

“Sampaikan kepada rakyat Sabah, cukup-cukuplah. Sudah tiba masanya kita bersatu dan maju bersama. Jangan biarkan kita kembali ke zaman tidak stabil,” katanya. – SABAH MEDIA 

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular