Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dr. Andi Md. Shamsureezal Mohd Sainal mahu ditonjolkan sebagai pemimpin yang menjadi penyambung suara rakyat kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Jika suara rakyat tidak sampai ke kerajaan, pembangunan tidak akan berlaku. Saya mahu pastikan suara Tanjung Batu didengari,” tegasnya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan serta bertemu pengamal media yang membuat liputan sepanjang pilihan raya di Pusat Media Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17.
Beliau juga mengakui pencalonannya dalam PRN ini memerlukan pengorbanan besar, termasuk melepaskan jawatan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi berbanding seorang ADUN.
“Namun saya dibesarkan untuk berbakti tanpa mengira bangsa, agama atau status. Profesi sebagai doktor mengajar saya untuk membantu semua orang,” katanya.
Mengulas isu pemimpin luar yang datang ke Sabah dan menggunakan bahasa menghina dalam ceramah, Dr. Andi menegaskan budaya itu tidak mencerminkan masyarakat Sabah yang terkenal dengan sifat mesra dan harmoni.
“Tidak kiralah apa pun bangsa dan agama kita di Sabah ini boleh duduk semeja, makan semeja, jadi budaya mengutuk, menghina ataupun mengherdik seperti ini sepatutnya tidak berlaku di Sabah dan saya sangat mengecam lah perlakuan ini,” tegasnya.



