Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Kukusan, Samsiah Usman, bertekad membawa perubahan besar di Kampung Sri Menanti, jika diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 kali ini.
Katanya, ia termasuklah menaik taraf infrastruktur asas dan memperluaskan skim perumahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurutnya, Kampung Sri Menanti sebelum ini terbiar kerana berstatus penempatan tidak sah, namun pewartaan tanah oleh kerajaan negeri membuka ruang kepada perancangan pembangunan lebih sistematik.
“Dulu kampung ini tak dipandang sebab dianggap bukan penempatan sah. Malah ada yang label penduduk sebagai pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sedangkan ramai pengundi Kukusan tinggal di sini dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) pun ada dua cawangan aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa meninjau kira-kira 30 rumah dalam program ziarah kasih di kampung berkenaan hari ini.
Samsiah berkata aduan paling banyak diterima berkaitan jalan kampung yang sempit dan sistem perparitan yang tidak teratur berikutan rumah dibina rapat antara satu sama lain.
“Kalau diberi mandat, kita akan susun semula rumah-rumah di sini supaya lebih teratur. Parit, jalan raya dan kemudahan asas lain memang akan jadi fokus kita,” katanya.
Beliau turut mendedahkan beberapa kawasan terutama bahagian atas kampung langsung tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat terdahulu.
“Penduduk sendiri cakap kawasan atas tak pernah dijenguk. Bila saya turun padang, barulah ada pihak lain datang membantu. Jalan di atas pun sudah mula dibaiki,” katanya.
Mengulas keperluan perumahan, Samsiah berkata GRS komited memperluaskan pembinaan Rumah Mesra SMJ di seluruh Kukusan.
“Rumah SMJ memang antara agenda utama. Insya-Allah kalau diberi mandat, kita akan tambah lagi supaya lebih ramai dapat rumah selesa,” katanya.
Sebagai satu-satunya calon wanita GRS di Pantai Timur selain Kunak, Samsiah turut mahu memperkasakan wanita terutama ibu tunggal untuk lebih berdikari.
“Dalam ekonomi sekarang yang semakin keras, wanita tak boleh terlalu bergantung pada suami. Kita mahu mereka berniaga dan ada pendapatan sendiri,” katanya.
Ditanya peluangnya pada PRU Sabah ke-17, Samsiah berkata beliau semakin yakin berdasarkan sambutan baik daripada penduduk.
“Penduduk nampak usaha kita dari awal. Mereka tahu apa yang kampung ini perlukan, dan sokongan yang saya dapat memang menguatkan semangat,” katanya.



