Oleh Rhea Dharmin
PAPAR: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis khususnya golongan belia digesa untuk membuat undi yang tepat kerana satu undi mampu memacu kemajuan di kawasan terbabit.
Susulan itu, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Pantai Manis, Datuk Pangiran Saifuddin Pangiran Tahir Petra berkata penduduk harus menunaikan tanggungjawab untuk turun mengundi menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) kelak.
“Satu undi mampu mengubah halatuju negeri Sabah dan kawasan Pantai Manis, tetapi memerlukan lima tahun untuk diperbetulkan sekiranya tersilap pilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Santai Bersama Calon GRS bagi N.29 Pantai Manis bertempat di Kampung Laut, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ngian itu turut menyeru agara rakyat mengekalkan kerajaan GRS yang memberi peluang kesinambungan kepada pelaburan, pembangunan ekonomi, serta penyediaan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda.
“Saya merayu sokongan daripada keluarga, saudara-mara, sahabat serta pengundi setempat agar terus mengekalkan kerajaan GRS untuk membawa kesinambungan dalam sosio-ekonomi negeri ini,” katanya.
Beliau juga berkongsi perjalanan karier politiknya dan menyatakan keyakinan penduduk Kampung Laut akan terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pantai Manis, Datuk Seri Panglima Abdul Rahim Ismail ketika berucap turut menyeru agar msemua penduduk Kampung Laut agar menyokong Pangiran Saifuddin sebagai wakil rakyat DUN terbabit. – SABAH MEDIA



