PRN SABAH
HomePRNN.22 TANJUNG ARUTiga inisiatif Chan Foong Hin untuk tingkatkan infrastruktur dan pendidikan di Pulau...

Tiga inisiatif Chan Foong Hin untuk tingkatkan infrastruktur dan pendidikan di Pulau Gaya

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, menawarkan tiga inisiatif utama untuk meningkatkan kemudahan asas dan peluang pendidikan bagi penduduk Pulau Gaya.

Pengarah Dasar Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu berkata tiga inisiatif berkenaan adalah keperluan mendesak yang mampu dilaksanakan, dan dua daripadanya sedang mula digerakkan walaupun beliau belum dipilih sebagai wakil rakyat.

Chan berkata kehidupan harian penduduk Pulau Gaya tidak boleh terus dibebankan dengan masalah asas yang berlarutan, khususnya berkaitan infrastruktur, keselamatan bangunan sekolah, dan akses pendidikan.

Beliau berkata usaha pertama ialah menyediakan perkhidmatan bot percuma bagi pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang musim persekolahan. Inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar dapat ke sekolah dengan cepat, selamat, dan tanpa menanggung kos harian.

“Kita mahu konsep seperti bas merah jambu di bandar, tetapi disesuaikan dengan realiti Pulau Gaya. Perkhidmatan ini adalah pilihan terbaik dan mekanisme menang-menang dengan pengusaha bot di pulau ini,” katanya ketika berucap di Dewan Serbaguna Kampung Torong Logong, Pulau Gaya, dekat sini hari ini.

Selain itu, Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan RM260 juta untuk membina kompleks pendidikan baharu di darat bagi menggantikan sekolah sedia ada yang terletak di atas laut.

“Projek itu akan membina 36 bilik darjah bagi setiap sekolah, dewan besar, padang sukan serta pelbagai kemudahan lain. Saya bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, telah meninjau tapak lokasi cadangan awal bulan ini. Dengan pembinaan kompleks baharu ini, pelajar Pulau Gaya akan menikmati persekitaran pembelajaran lebih selamat tanpa risiko kerosakan akibat ribut atau ombak besar.

“Kedua-dua sekolah yang kini berada di atas laut sering mengalami kerosakan struktur, termasuk lantai reput dan insiden runtuhan bangunan, sekali gus membahayakan keselamatan murid dan guru. Projek itu dijadualkan bermula tahun depan selepas proses reka bentuk dan tender selesai,” katanya.

Usaha ketiga melibatkan pembangunan sebuah menara telekomunikasi baharu setinggi 30 meter dengan liputan internet 5G di pulau itu. Chan berkata masalah liputan internet yang lemah menjadi aduan utama penduduk, termasuk kesukaran menghantar mesej dan mengakses pembelajaran dalam talian.

Beliau bertemu Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, untuk menyuarakan isu ini, dan sehari selepas itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah turun meninjau lokasi cadangan bagi pembinaan menara. Menara baharu ini dijangka memberikan liputan lebih stabil bagi seluruh penduduk dan pelajar.

Chan menekankan bahawa ketiga-tiga inisiatif ini akan menjadi keutamaan beliau sekiranya diberi mandat sebagai wakil rakyat, bagi memastikan penduduk Pulau Gaya menikmati kemudahan asas moden, pendidikan selamat, dan akses teknologi setara dengan kawasan lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Jenazah Bung Moktar selamat dikebumikan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular