SANDAKAN: Seramai 50 ahli Parti Warisan dari Cawangan Kampung Peringkat Dua, Sungai Manila, mengumumkan keputusan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), salah satu komponen utama dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Peralihan sokongan secara beramai-ramai itu dijangka memberi impak kepada kempen Warisan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila, terutamanya dalam tempoh kempen politik yang semakin memuncak.
Kumpulan tersebut diketuai bekas Ketua Cawangan Warisan kampung berkenaan, Asmat Omar, yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada calon GRS bagi DUN Sungai Manila, Hazem Mubarak Musa, dalam satu majlis ringkas.
Menurut Asmat, keputusan itu dibuat selepas menilai kesungguhan dan komitmen Hazem dalam merancang pembangunan kawasan tersebut.
“Keputusan kami keluar Warisan dan sertai GRS adalah keputusan yang tepat. Kami sudah lama menyertai Warisan… kali ini kami sertai GRS dan yakin GRS mampu bangunkan kawasan ini,” katanya.
Tindakan ini turut dilihat sebagai suntikan semangat baharu kepada kempen GRS di Sungai Manila, sekali gus menunjukkan perubahan arus sokongan di peringkat akar umbi. – SABAH MEDIA



