Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: DAP Tawau menzahirkan penghargaan kepada para pengundi di Sri Tanjong yang kekal setia bersama parti itu sejak 2008, sambil menegaskan komitmen mereka yang berterusan walaupun berdepan perubahan politik.
Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, walaupun bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Tanjong, Justin Wong meninggalkan parti pada 2022 namun DAP Tawau tetap berjaya melaksanakan 10 pencapaian utama.
“Di bawah kepimpinan calon Pakatan Harapan (PH) Sri Tanjong, Philip Yap, kami masih mengekalkan pencapaian baik dalam tempoh tiga tahun dengan penuh cabaran,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Pilihan Raya PH Sri Tanjong di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Setiausaha DAP Negeri, Vivian Wong dan Philip Yap.
Sementara itu, Philip berkata, DAP Tawau kekal konsisten turun padang setiap minggu melalui kaunter perkhidmatan bergerak di Pasar Baru Taman Sin Onn.
Katanya, inisiatif itu merangkumi sesi mendengar aduan penduduk, membantu menyelesaikan masalah harian, pemeriksaan kesihatan percuma untuk warga emas serta nasihat guaman percuma secara bulanan di pusat khidmat.
“Beliau menegaskan bahawa usaha yang mungkin kelihatan sederhana ini adalah lambang komitmen DAP untuk sentiasa dekat dan boleh diharapkan oleh rakyat.
“Dalam aspek perpaduan komuniti, DAP Tawau juga terus menganjurkan acara kebudayaan berskala besar seperti Pasar Malam Tahun Baharu Cina dan Pesta Taman Sempena Mid-Autumn.
“Program yang diadakan secara konsisten setiap tahun itu bertujuan mengukuhkan hubungan masyarakat pelbagai kaum, memelihara budaya setempat dan menjadikan Tawau sebuah bandar yang harmoni serta mesra komuniti,” ujarnya.
Katanya, usaha memajukan ekonomi setempat turut dilakukan melalui kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri bagi mempromosikan avocado QAV1 sehingga ke Parlimen Kuala Lumpur, sekali gus meningkatkan pengiktirafan produk Tawau.
Selain itu, kumpulan peladang kecil menerima sokongan kewangan berjumlah RM856,200 menerusi skim TSPKS 2.0, sementara kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan sehingga RM100 juta untuk usaha penanaman semula dan pemodenan industri sawit.
Dalam sektor pelancongan pula, katanya, DAP Tawau melancarkan “Buku Panduan Pelancongan & Gastronomi Tawau” bagi memperkenalkan juadah tempatan, budaya dan tarikan pelancongan unik. Buku tersebut kini diedarkan secara percuma di Lapangan Terbang Tawau untuk memudahkan pelawat mengenali potensi pelancongan bandar itu.
“Komitmen terhadap rakyat turut dizahirkan melalui bantuan ekonomi dan kebajikan, termasuk program Baucar Belanja RM100 di Pasar Sin Onn yang membantu golongan memerlukan sambil meningkatkan semula aktiviti perniagaan peniaga kecil. Ketika Tawau berdepan krisis bekalan air, DAP Tawau menggerakkan lori tangki bagi menghantar air ke rumah-rumah, menunjukkan tindakan segera tanpa menunggu mandat politik.
“Dalam isu bekalan air, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk menaik taraf sistem air Sabah, termasuk projek di Tawau. DAP Tawau memantau pelaksanaan agar kawasan kritikal mendapat keutamaan, sekali gus memastikan rakyat menerima manfaat sebenar daripada peruntukan tersebut,” katanya.
Philip menegaskan bahawa, seluruh rekod pencapaian ini bukan sekadar catatan pentadbiran, tetapi bukti bahawa DAP Tawau telah bekerja secara konsisten tanpa henti sejak 2008.
“DAP tidak muncul ketika pilihan raya sahaja. Kami sentiasa berada bersama rakyat dalam susah, dalam senang, dalam krisis, dan dalam pembinaan masa depan,” katanya.



