Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Soal pelantikan sebagai menteri penuh bukan keutamaan, sebaliknya fokus utama adalah memenuhi amanah untuk mempermudah kehidupan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas serta membawa pembangunan yang inklusif di kawasan itu.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan beliau sentiasa bersedia untuk melaksanakan amanah sebagai wakil rakyat demi kesejahteraan rakyat khususnya di DUN Apas.
“Itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti atau kerajaan. Tugas sebagai wakil rakyat bukan untuk diri saya tetapi untuk memastikan kesejahteraan rakyat serta membawa kemajuan yang boleh dinikmati semua lapisan masyarakat di kawasan kita,” katanya ditemui media selepas menghadiri ceramah di Rumah Adat Kampung Hidayat di sini, pada malam Rabu.

Nizam berkata demikian ketika diminta mengulas suara akar umbi di kawasan itu yang mahukan beliau diangkat menjadi menteri penuh dalam Kabinet Sabah apabila memenangi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan ke-17 (PRU DU Sabah ke-17) akan datang.
Sejarah keputusan dua pilihan raya lalu menyaksikan Nizam berada dalam kedudukan selesa untuk mempertahankan kerusi DUN Apas pada PRN 2025. Beliau memenangi kerusi itu pada 2018 dan 2020 dengan majoriti yang konsisten dan kukuh.
Dengan pertambahan sokongan terhadap GRS di kawasan pantai timur, perebutan di DUN Apas dijangka menjadi antara kerusi tumpuan, terutama apabila beliau berdepan calon Warisan, Sarman Amat Simito.
Pemerhati politik melihat pola undian lampau menunjukkan kelebihan berpihak kepada penyandang itu, disokong oleh kekuatan jentera GRS dan peningkatan sokongan akar umbi.
Mengulas isu golongan muda, Nizam menyatakan keyakinannya bahawa manifesto GRS memberi perhatian besar kepada aspirasi belia, terutama melalui cadangan mewujudkan Dana Masa Depan Anak Muda.
“Kita amat bergembira apabila manifesto kali ini memberi jaminan kepada masa depan generasi muda. Dengan adanya dana pelaburan ini, ia menambah keyakinan bahawa kepimpinan GRS benar-benar memastikan Sabah menjadi lebih maju bukan sahaja hari ini tetapi untuk masa depan,” ujarnya.
Beliau turut memuji kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor yang menurutnya menunjukkan komitmen jelas dalam membina masa depan ekonomi dan sosial belia Sabah.
Sementara itu, dalam ucapannya, Nizam turut meluahkan rasa terkilan dengan tindakan seorang pemimpin parti dari luar yang didakwanya membawa budaya politik tidak sihat ketika berkempen di Sabah.
“Ini sikap tidak bertanggungjawab. Sabah mempunyai budaya berbilang kaum, suku dan agama kita berpolitik dengan adab dan tata etika. Datang ke sini dan membawa isu negatif seperti susur galur dan keturunan bukanlah sesuatu yang boleh diterima,” tegasnya.
Menurut beliau, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak matang, malah menunjukkan ketiadaan isu sebenar untuk diketengahkan kepada rakyat.
“Di Tawau ini, ramai keluarga saya sendiri tinggal di kawasan Apas. Bila isu peribadi dimainkan, ia bukan sahaja menyinggung saya tetapi ramai orang lain. Rakyat Sabah akan menolak pemimpin seperti ini yang hanya datang membawa budaya perpecahan,” katanya.
Datuk Nizam menyeru pengundi di Apas dan seluruh Sabah agar menolak pemimpin yang menurutnya cuba memecah-belahkan perpaduan masyarakat.
“Kita boleh berbeza fahaman politik, tetapi jangan sampai membawa budaya yang merosakkan kesatuan dan perpaduan yang sudah lama terbina di Sabah,” tegasnya.
Beliau menegaskan kempen GRS akan terus menekankan politik matang, pembangunan, dan masa depan yang stabil untuk rakyat. – SABAH MEDIA



