HomeUtamaInkues Zara: Saksi pilih tidak jawab soalan tentang kecuaian sekolah dan asrama

Inkues Zara: Saksi pilih tidak jawab soalan tentang kecuaian sekolah dan asrama

Read Time:2 Minute, 16 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang guru memilih untuk tidak menjawab soalan peguam mengenai sama ada berlaku kecuaian oleh sekolah dan asrama dalam kejadian yang menimpa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Saksi ke-48 dalam inkues kematian Zara, Miswati Lundu, 37, berkata demikian ketika ditanyakan soalan tersebut oleh peguam Datuk Ram Singh di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Peguam: Berdasarkan dokumen-dokumen yang dikemukakan (di mahkamah), adakah kamu setuju bahawa dalam kes ini ada kecuaian sekolah dan asrama untuk mengelakkan kejadian pada 15-16 Julai. Adakah wujud kemungkinan kecuaian?

Koroner: Cikgu tolong jawab soalan sebab saya ada kewajipan untuk menerangkan soalan ini adalah ‘incriminating question’ cikgu boleh pilih untuk jawab atau tidak jawab.
Saksi: Kalau begitu saya pilih tidak jawablah

Peguam: Excuse me, pilih tidak jawab?
Saksi: Ya, saya pilih tidak jawab

Terdahulu Ram mengemukakan beberapa dokumen termasuk buku Konsep dan Manual Sekolah Selamat: Panduan Pelaksanaan Menjadikan Sekolah, Komuniti dan Keluarga Selamat Untuk Kanak-Kanak.

Merujuk kepada buku tersebut, peguam Datuk Ram Singh bertanya sama ada saksi mengikuti tatacara kaunselor seperti yang dinyatakan di muka surat 113.

Peguam: Soalan saya, cikgu memang ada buatlah?
Saksi: Ya, kita akan mengikut tatacara ini. Ada buat.

Peguam: Tapi cikgu cakap tadi, cikgu tidak memaklumkan kepada ibu bapa, maksudnya tidak buat satu di antaranya, betul?
Saksi: Tatacara kaunselor di sini, dia mesti ada kes tertentu yang mengikut prosedur seperti ini.

Peguam: Jadi ada buat?
Saksi: Untuk kes-kes tertentu, kita perlu buat seperti ini.

Peguam: Kalau dalam kes ini ada buat? Bukan kes tertentu, kes Zara.
Saksi: Untuk kes Zara, tidak ada.

Peguam: Cikgu terus terang saja…..
Saksi: Saya jelaskan, mengikut tatacara kaunselor di sini sebab tatacara kaunselor di sini untuk kes-kes berat.

Peguam: Jadi Zara punya kes ni, kes berat?
Saksi: Zara, kes berat.

Menjawab soalan tambahan, Miswati mengakui buku panduan sekolah selamat tersebut penting.

Ram kemudiannya merujuk saksi kepada dokumen Maklumat Literasi Undang-Undang yang disediakan oleh Panel Undang-Undang, muka surat 6, di bawah tajuk Tugas Guru Sebagai ‘in loco parentis’ (ibu bapa gantian).

Menurut Miswati, peranan ‘in loco parentis’ dilaksanakan untuk memastikan keselamatan murid, dan sebelum insiden yang menimpa Zara, warden dan guru asrama bertindak sebagai ‘in loco parentis’ kepada para pelajar.

Pelajar juga menyedari bahawa para guru bertanggungjawab menjaga mereka.

Miswati juga bersetuju dengan cadangan Ram bahawa sekiranya berlaku kesilapan, warden adalah individu pertama yang perlu disoal, bukannya pengetua.

Sebelum itu, suasana di mahkamah menjadi tegang semasa sesi soal jawab antara Ram dan Miswati, hingga pihak pegawai pengendali bangun mencadangkan agar inkues dijalankan secara aman.

Koroner kemudiannya menasihatkan Ram supaya mengemukakan soalan dengan tenang dan sopan, manakala saksi diminta menjawab dengan betul.

Ram merupakan salah seorang peguam yang mewakili saksi kanak-kanak pertama yang didakwa atas tuduhan membuli Zara.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama sekolah, ibu bapa perkukuh kejayaan murid SK Rampayan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular