Oleh Normimie Diun
KUNDASANG: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yakin sokongan terhadap Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Malinsau terus kukuh menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Calon GRS itu berkata keyakinan tersebut terhasil daripada gerak kerja jentera yang konsisten serta hubungan rapat beliau dengan komuniti setempat sejak sekian lama.
Dr Joachim ditemui kru Sabah Media ketika mengadakan lawatan ke PDM Malinsau pada Khamis (20 Nov), yang membabitkan lapan kampung iaitu Kg Nasakot, Kg Sumbilingon, Kg Linapasan, Kg Mantub, Kg Mampakot, Kg Tanid, Kg Mokodou dan Kg Kopuakan.
Menurutnya, lawatan ke PDM penting bagi memastikan markas, jentera akar umbi dan rangkaian pengundi berada dalam keadaan bersedia serta memahami mesej kempen GRS.
“Setakat hari ini, kami telah melawat satu PDM iaitu Malinsau. Dalam empat hari turun padang, kami bersyukur dengan sokongan yang diterima dan cukup yakin dapat melakukan yang terbaik,” katanya.
Beliau menjelaskan setiap kampung mempunyai beberapa markas kecil yang mengurus antara 18 hingga 100 pengundi bergantung kepada jumlah penduduk.
“Fokus kami ialah memastikan setiap rangkaian pengundi dapat ditemui. Kebanyakan mereka sudah saya kenal secara individu kerana saya turun berkali-kali sebelum ini. Lawatan kali ini lebih kepada mengukuhkan sokongan,” katanya.
Dr Joachim berkata PDM Malinsau mempunyai antara 1,900 hingga 2,000 pengundi, dan walaupun kawasan itu turut mempunyai pengaruh calon bebas, GRS kekal optimis mencapai keputusan positif.
“Jika kita memperoleh sekitar 50 peratus di sini dan 60 peratus di PDM lain, peluang kita tetap cerah,” katanya.
Mengulas pencapaian GRS di kawasan Malinsau dan sekitar Kundasang, Joachim berkata pembangunan infrastruktur terutamanya jalan raya kekal menjadi keutamaan.
“Isu paling penting di sini ialah jalan. Kita telah melakukan banyak penambahbaikan termasuk jalan pertanian dan pembaikan asas yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata sektor pendidikan dan kesihatan juga menunjukkan kemajuan walaupun masih banyak ruang perlu diperbaiki.
“Banyak sekolah sudah diselenggara walaupun belum dinaik taraf sepenuhnya. Dari segi kesihatan, klinik di Tenggaran, Timbua dan beberapa kampung lain kini sudah ada doktor. Tetapi kita masih perlukan naik taraf tambahan dan pembinaan klinik baharu,” jelasnya.
Menurutnya, terdapat cadangan menaik taraf klinik ibu dan anak sedia ada kepada klinik kesihatan serta membina sebuah klinik baharu dipohon, selain memperbaiki dan menaik taraf jalan di beberapa kawasan yang masih bermasalah.
Dr Joachim menegaskan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan amat penting bagi memastikan pembangunan dapat direalisasikan secara berkesan, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk.
Beliau menambah, PRU DU ke-17 adalah penting untuk memastikan kesinambungan dasar dan pembangunan yang telah dibawa GRS dalam tempoh lima tahun lalu.
“GRS telah membawa banyak perubahan besar daripada pengurusan hasil negeri, peningkatan rizab kewangan, bantuan rumah SMJ sehinggalah pembangunan modal insan. Rakyat sudah melihat hasilnya.
“Undi GRS bermakna meneruskan momentum pembangunan ini,” ujar calon nombor 10 itu.



