Oleh Rhea Dharmin
BEAUFORT: Kerjasama erat di antara kerajaan negeri dan Persekutuan yang kuat membolehkan banyak perancangan berkaitan kemajuan dan pembangunan untuk rakyat negeri ini dapat direalisasikan, kata Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam.
Beliau berkata dalam konteks negeri Sabah, jalinan kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) membolehkan kerajaan negeri sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 6 Oktober lepas memperolehi dana bagi pelaksanaan rancangan untuk rakyat.
“Kita memang akui bahawa kerajaan (GRS-PH), kita perlu berjuang bersama-sama mereka. Kalau tidak ada PH bantu, mungkin (akibat) Langkah Kinabalu itu kita tidak dapat mempertahankan kerajaan hari ini.
“Dalam konteks kerjasama, kita memerlukan sokongan dan perhatian yang sebaik-baiknya oleh kerajaan pusat. Kita melihat sejarah pada pemerintahan lepas, kita tidak ada persefahaman dengan kerajaan pusat.
“Ia agak sukar dimana walaupun kita menjadi kerajaan di negeri ini tapi tidak ada kerjasama dengan kerajaan pusat, bukan mudah untuk kita mendapatkan dana mencukupi untuk bantu rakyat.
“Tapi dengan adanya kerjasama daripada PH dan kerajaan Malaysia Madani ini, kita lihat banyak dana telah disalurkan kepada kerajaan GRS-PH,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS DUN Klias dan DUN Lumadan bertempat di Dewan Bagandang, di sini, pada Rabu.
Program itu disempurnakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Susulan itu, Ruslan menekankan bahawa sokongan kuat daripada kerajaan Persekutuan membolehkan kerajaan negeri dapat memajukan Sabah.
“Saya yakin kerajaan yang kuat ini mesti disokong oleh kerajaan pusat. Saya juga apa sahaja perancangan kerajaan di negeri kita dapat capai,” katanya.
DUN Lumada bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada 29 November ini. – SABAH MEDIA



