Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Dr Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal menasihatkan semua jentera parti serta pengundi supaya mengekalkan ketenangan dan mengawal emosi sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Beliau berkata, insiden pergaduhan penyokong parti yang tular di media sosial baru-baru ini adalah perkara yang tidak wajar berlaku dan boleh menjejaskan imej kempen serta keharmonian masyarakat setempat.
“Musim kempen memang panas, tetapi kita perlu mengawal diri. Jangan ada pergaduhan, caci maki atau hina-menghina.
“Kita berkempen hanya 14 hari, selebihnya kita tetap bersaudara,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Batu Laut Pukat, hari ini.
Dr Andi menegaskan bahawa hubungan sesama manusia perlu dijaga walaupun berbeza pendirian politik.
Beliau menekankan bahawa kempen seharusnya menjadi medan untuk menyampaikan aspirasi dan program kepada rakyat, bukan untuk mencetuskan konflik.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi empat teras utama aspirasi sekiranya diberi mandat oleh pengundi Tanjung Batu.
Beliau berkata, rakyat perlu mendapat perhatian khusus dalam aspek kesihatan dengan penubuhan pasukan perubatan bergerak yang terdiri daripada doktor, jururawat dan ahli fisioterapi.
Selain itu, katanya, program bakul makanan sedia ada akan diteruskan dan diperluaskan bagi menambah manfaat kepada penduduk.
Bagi golongan belia pula, Dr Andi mahu memperkasakan mereka melalui pendidikan dan latihan kemahiran supaya mampu berdikari dan menjadi tenaga kerja produktif pada masa hadapan.
Beliau juga akan menumpukan perhatian terhadap pembangunan infrastruktur, termasuk membaiki jalan raya, jambatan yang belum dikonkrit sepenuhnya serta sistem perparitan yang masih bermasalah.
Beliau menzahirkan rasa syukur dan teruja dengan sambutan hangat penduduk sepanjang kempen serta berharap semua pihak dapat mengekalkan semangat harmoni sehingga hari pengundian. – SABAH MEDIA



