PRN SABAH
HomeUtamaPRU Sabah : Rekod lima tahun kukuh, GRS yakin raih majoriti mudah...

PRU Sabah : Rekod lima tahun kukuh, GRS yakin raih majoriti mudah – Hajiji

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU : Kejayaan yang dicapai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam tempoh lima tahun lalu menjadi faktor utama keyakinan gabungan itu untuk mencapai majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan telah berjaya dilaksanakan secara konsisten, sekaligus membawa Sabah kembali ke ‘landasan yang betul’ menuju kemajuan.

“Kita begitu yakin kerana dalam masa lima tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Sabah.

“Selain itu, pelbagai sektor ekonomi telah dipertingkatkan selain program kebajikan meluas untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada USIA oleh Jabatan Tanah dan Ukur di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata,Kerajaan turut menumpukan kepada pembangunan modal insan dengan menyediakan bantuan pendidikan terbesar dalam sejarah Sabah.

“Dalam masa hampir lima tahun, kita belanja RM1.3 bilion. Biasiswa pun kita tingkatkan, macam-macam lagi”, katanya.

Menurut beliau, kejayaan Kerajaan termasuk termeterainya perjanjian dengan PETRONAS, peningkatan hasil negeri daripada hampir RM4 bilion kepada RM7 bilion, selain rizab negeri yang bertambah daripada sekitar RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion.

“Ini satu kejayaan dan rakyat mesti melihat ini,” katanya sambil menyatakan hampir 100,000 rakyat dibawah E-Kasih menerima bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) bernilai RM300 sebulan termasuk bantuan perumahan seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Mengulas serangan pembangkang, Hajiji berkata, mereka pernah memegang jawatan dalam kerajaan negeri dan persekutuan, namun tidak menunjukkan pencapaian yang setara. Justeru beliau berharap rakyat membuat pilihan tepat pada pilihan raya nanti.

“Kita sudah berada di landasan yang betul. Saya harap rakyat tengok betul-betul. Jangan ikut perasaan tetapi lihat bukti prestasi nyata pencapaian kerajaan GRS dalam lima tahun ini.”

Menurutnya, Kerajaan kini sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk menyelesaikan masalah air yang menurutnya berpunca daripada kelemahan pentadbiran kerajaan terdahulu yang menamatkan konsesi air.

“Kita kena bayar RM315 juta. Kalau tidak ada pembatalan ini, RM315 juta itu kita boleh guna untuk buat jalan raya kampung, jambatan kampung dan sebagainya”, tegas beliau.

Hajiji turut menolak dakwaan kononnya Kerajaan GRS terlibat dalam rasuah dan menyifatkannya sebagai fitnah bermotif politik.

“Apa yang rasuah? Kita potong ataupun batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral… Itu (dakwaan) semua mempunyai motif politik yang jahat,” katanya.

“Sebab itu keluarlah video-video itu. Orang dari sana datang ke sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin dan sopan bila datang ke negeri orang untuk mencari rezeki. Apa dia mahu buat di sini?” tegasnya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Program Pembersihan Pantai Tahunan Ke-11 teguhkan komitmen FOSTER terhadap pemuliharaan penyu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular