HomePRNN.37 KARANAANRakyat mahukan kestabilan politik

Rakyat mahukan kestabilan politik

Read Time:3 Minute, 7 Second

RANAU: Kestabilan politik terus menjadi tumpuan rakyat Sabah, kerana ia membolehkan kerajaan negeri menumpukan sepenuhnya terhadap agenda pembangunan, kesejahteraan rakyat dan pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Seorang pemilik penginapan di Kundasang, Sesuai @ Suai Suffian, 40, berkata kestabilan politik adalah asas penting bagi memastikan ekonomi terus berkembang, dan rakyat perlu memilih parti yang benar-benar mampu mengekalkan kestabilan tersebut demi kepentingan negeri.

“Ekonomi yang stabil membolehkan perniagaan terus beroperasi dengan lancar dan menjamin peluang pekerjaan untuk rakyat, sekaligus mewujudkan persekitaran lebih teratur dan mampan, serta meningkatkan taraf hidup masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya kerajaan gagal menjalankan tanggungjawabnya, hasil cukai yang dikutip daripada rakyat akan disia-siakan, sekaligus menjejaskan kelancaran pembangunan.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memahami keperluan masyarakat setempat. Dengan mandat diberikan oleh rakyat pada pilihan raya ini, saya berharap GRS dapat memberi perhatian lebih khusus kepada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini kurang mendapat tumpuan, sekali gus memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif untuk semua komuniti,” tambahnya.

Bagi Muhd Siraj, 35, rakyat juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kestabilan politik melalui penglibatan positif, turun mengundi, memilih pemimpin yang dipercayai, serta mematuhi undang-undang.

“Tugas utama memastikan kestabilan dan keharmonian negeri tetap terletak pada kepimpinan politik. Jika pemimpin tidak menunjukkan kualiti kepimpinan yang baik, seperti rasuah atau penyalahgunaan kuasa, komitmen rakyat tidak akan membawa makna kerana gejala negative ini akan merosakkan sistem politik negara,” katanya.

Siraj, yang bekerja sendiri, menyarankan agar kerajaan terus menjalankan misi dan visinya demi kesejahteraan rakyat, sambil menekankan bahawa pemimpin memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju negeri sama ada ke arah positif atau negatif.

“Negara yang hebat bermula dengan kepimpinan yang baik,” katanya.

Manakala bagi Mark S. Suili, 33, kepimpinan politik yang stabil membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur kritikal, termasuk jalan raya, sekolah, hospital, serta peluang pekerjaan yang lebih banyak hasil daripada pelaburan yang meningkat.

“Sekiranya pemimpin hanya mengejar kuasa tanpa mengutamakan suara rakyat, banyak kesan negatif akan berlaku. Kepercayaan rakyat akan hilang dan dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan, menyebabkan pembangunan terbantut,” katanya.

Mark berpendapat kerajaan di bawah GRS telah menunjukkan kepimpinan stabil dan berkesan dalam membangunkan Sabah, dengan sumbangan ketara seperti peningkatan hasil negeri, pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik di kawasan luar bandar.

“GRS turut menumpukan perhatian kepada pendidikan dan latihan kemahiran untuk meningkatkan peluang pekerjaan rakyat, selain bantuan kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah yang meringankan beban hidup,” kata Mark, seorang peniaga dan pemilik restoran di Kampung Lingkudau yang sebelum ini pernah menerima bantuan keusahawanan daripada kerajaan negeri.

Beliau berharap sekiranya GRS sekali lagi diberi mandat, kerajaan akan terus memimpin dengan amanah, fokus kepada kepentingan rakyat, meneruskan pembangunan infrastruktur, meningkatkan peluang pekerjaan, serta memastikan ekonomi Sabah terus berkembang.

Mark turut menekankan bahawa sistem pendidikan dan kebajikan rakyat perlu diperkukuh, terutamanya di kawasan luar bandar, dengan perkhidmatan asas disediakan di setiap daerah tanpa perlu ke bandaraya.

“Kerajaan juga diharapkan terus mempertahankan hak Sabah dalam Malaysia serta mengurus hasil negeri secara telus. Semoga pentadbiran GRS terus membawa kemajuan dan kesejahteraan berterusan kepada seluruh rakyat Sabah,” katanya.

Terdahulu, dalam satu program bersama penyandang kerusi DUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun menegaskan kepentingan kestabilan politik bagi memastikan kerajaan berfungsi konsisten dan fokus dalam melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Setiausaha GRS itu berkata sejak diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, kerajaan di bawah GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan merangkumi sektor infrastruktur, ekonomi, pendidikan, kebajikan, serta peluang pekerjaan bagi manfaat rakyat di seluruh negeri.

“Antara usaha utama kerajaan negeri ialah pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), sebagai hala tuju strategik untuk membawa Sabah ke arah kemajuan yang lebih mampan dan sejahtera,” katanya.

Menurutnya, kestabilan politik adalah kunci untuk memastikan masa depan negeri lebih terjamin dan memberi keyakinan kepada rakyat bahawa usaha pembangunan tidak akan terganggu.

RELATED ARTICLES
Anwar Ibrahim
Utama

PM seru rakyat tolak kebencian, semai empati sempena Hari Krismas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular