SANDAKAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Puan Sri Diana Datuk Diego, menerima suntikan semangat baharu apabila Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengisytiharkan sokongan penuh terhadap pencalonannya.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sekong, Saparudin Abu, berkata sokongan itu dizahirkan melalui kehadiran semua ketua cawangan parti pada sesi pertemuan bersama calon berkenaan, sekali gus membuktikan kesepakatan jentera di peringkat akar umbi.
Beliau berkata perpaduan yang ditunjukkan itu akan digerakkan sepenuhnya melalui mesyuarat jentera pilihan raya dalam masa terdekat bagi memperkemas strategi menghadapi saingan di Sekong.
Mengulas perkembangan tersebut, Diana berkata sokongan kuat Gagasan Rakyat memberi makna besar dan menambah keyakinannya terhadap kemampuan GRS meraih kemenangan di kawasan itu.
“Sokongan Gagasan Rakyat dan komponen GRS di Sekong ini amatlah saya hargai… saya amat berterima kasih,” katanya.
Dengan hanya seminggu lagi sebelum hari pengundian, pengisytiharan sokongan itu dilihat mampu memperkukuh peluang GRS dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan.



