PRN SABAH
HomePRNN.48 SUGUTJames Ratib optimis pertahan Sugut, sandar prestasi dan sokongan akar umbi

James Ratib optimis pertahan Sugut, sandar prestasi dan sokongan akar umbi

Read Time:1 Minute, 35 Second

SUGUT :  Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut, Datuk James Ratib, optimis mampu mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

Beliau berkata, keyakinan itu disokong berdasarkan rekod prestasi kukuh serta kepercayaan teguh penyokong setia.

Dalam satu temu bual podcast, James berkata keyakinannya bukan sekadar berasaskan populariti politik, tetapi atas kesetiaan penyokong yang konsisten sejak beliau memimpin Pemuda UMNO Bahagian Beluran.

“Mereka akan terus menyokong saya tidak kira di mana saya berada. Malah, jika saya menyertai mana-mana parti sekali pun, mereka tidak akan berubah,” katanya.

Antara pencapaian terbesar yang diketengahkan ialah pemindahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan ke lokasi yang lebih selamat selepas sekolah lama kerap terjejas banjir. Usaha itu membuka ruang kepada pembelajaran lebih stabil untuk ribuan pelajar.

Selain itu, beliau memainkan peranan penting dalam menaik taraf Daerah Kecil Paitan kepada daerah penuh, langkah strategik yang memberi impak besar kepada kehidupan penduduk.

Sebelum ini, penduduk Paitan terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Beluran atau Pitas untuk urusan rasmi — pendaftaran kelahiran, pertukaran sekolah, permohonan tanah dan pelbagai dokumen penting.

“Kos RM300 hingga RM400 untuk menyewa kereta sangat membebankan. Ramai penduduk akhirnya tidak memiliki dokumen lengkap, dan itu menjejaskan masa depan anak-anak mereka,” jelas James.

Dengan status daerah penuh, lebih banyak jabatan kerajaan kini beroperasi di Paitan sekali gus memudahkan urusan rakyat dan mengurangkan kos perjalanan.

Tidak berhenti pada pencapaian lalu, James turut menggariskan beberapa perancangan penting untuk penggal baharu, antaranya pembinaan 200 unit rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi membantu keluarga kurang berkemampuan.

Selain itu katanya, pembinaan sebuah kompleks sukan sebagai pusat pembangunan belia dan aktiviti komuniti.

Dengan sokongan akar umbi yang tidak berbelah bahagi, rekod khidmat yang membuktikan keberkesanan tindakan, serta perancangan pembangunan untuk masa depan, James percaya pengundi Sugut akan sekali lagi mempercayai kepimpinannya.

“Apa yang saya lakukan, saya lakukan demi rakyat Sugut,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sahabat lama yang banyak berjasa – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular