PRN SABAH
HomePRNN.52 SUNGAI SIBUGAKempen calon GRS dapat sambutan menggalakkan

Kempen calon GRS dapat sambutan menggalakkan

Read Time:1 Minute, 17 Second

SANDAKAN: Memasuki hari ketujuh kempen, calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Amirshah Yaakub terus menerima sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

Amirshah yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga berkata, penduduk setempat menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap kepimpinan parti terutama terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, rakyat melihat kerajaan pimpinan Hajiji membawa banyak perubahan pembangunan di negeri ini.

“Alhamdulillah, sepanjang tujuh hari kempen, penduduk menerima baik kehadiran kita.

“Mereka faham hala tuju kerajaan GRS dan yakin dengan kepimpinan yang telah membawa perubahan dalam pembangunan,” katanya ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Bersama Pemimpin di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Merpati di Taman Merpati, di sini.

Mengulas perancangan sekiranya diberikan mandate oleh rakyat pada pilihan raya kali ini, Amirshah menegaskan bahawa keutamaannya adalah memperbaiki infrastruktur asas yang masih tertinggal di Sungai Sibuga.

Katanya, antara isu berkenaan adalah kawasan rendah yang sering dinaiki banjir ketika hujan dan usaha awal sudah diambil untuk mengatasi perkara berkenaan.

“Hampir tiga tahun memimpin di bahagian, kita sentiasa turun padang melihat rintihan rakyat.

“Selain itu, saya juga mahu tumpukan usaha untuk mengatasi masalah yang selalu dikatakan penyakit tiga serangkai di Sabah iaitu berkenaan bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, Amirshah menepis dakwaan 300 ahli parti daripada bahagian itu menyertai Barisan Nasional seperti yang dilaporkan akhbar kelmarin.

Katanya, laporan itu tidak tepat, sebaliknya mereka yang keluar kerana kecewa cuma membabitkan segelintir individu.

“Itu berita yang tidak jelas dan palsu. Mungkin hanya satu dua individu yang berasa kecewa. Bagi kami, itu perkara biasa yang berlaku dalam pilihan raya,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Bung Moktar tegas di Parlimen tapi lembut di rumah – Shaheizy...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular